MALAYSIA SASAR JUARA

by - Wednesday, April 16, 2014

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan harapan tinggi kepada pasukan hoki kebangsaan pada kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan pada 26 April hingga 4 Mei ini agar berupaya muncul juara buat kali pertama selaku tuan rumah.

Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sejarah akan terukir andai pasukan Malaysia berjaya meraih kejuaraan berikutan ia adalah CC1 terakhir dianjurkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas lapan edisi dan Liga Hoki Dunia akan menggantikan kejohanan tersebut.


Tambah Tengku Abdullah, keputusan cemerlang skuad kebangsaan pada kejohanan di Kuantan itu juga akan membolehkan Malaysia beraksi pada Trofi Juara-juara sekali gus mampu memperbaiki kedudukan ranking pasukan kebangsaan.

"Ini juga adalah sebahagian persiapan pasukan kebangsaan yang akan beraksi pada Piala Dunia di Belanda selepas saingan CC1.

"Saya juga harap semua pemain dapat beraksi dengan baik dan tiada sebarang kecederaan menimpa mereka sepanjang kejohanan di Kuantan itu," katanya dalam sidang akhbar tajaan CC1 di sini, semalam.

Pada majlis tersebut kejohanan itu mendapat tajaan sejumlah RM1.165 juta daripada pelbagai syarikat korporat, agensi kerajaan dan kerajaan negeri Pahang.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B pada CC1 kali ini bersama Korea Selatan, Kanada dan Perancis manakala Kumpulan A menyaksikan New Zealand, Jepun, Ireland dan Poland akan berentap untuk menjadi yang terbaik.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut memberitahu keutamaan pasukan kebangsaan pada tahun ini adalah untuk melakukan yang terbaik pada Sukan Asia di Korea Selatan kerana temasya tersebut menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2016 kepada juara untuk sukan hoki.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998