MALAYSIA PERLU MULAKAN DENGAN LANGKAH KANAN

by - Saturday, April 26, 2014

"KITA perlu menang dalam perlawanan pembukaan menentang Perancis."

Demikian jelas ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dalam memastikan laluan anak-anak buahnya pada Cabaran Juara-Juara 1 menjadi lebih mudah.

Biarpun Perancis dianggap antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini, Dhaarma Raj tetap yakin dengan kemampuan barisan kendaliannya untuk melakar kejutan pada aksi pembukaan malam ini.


Justeru, Dhaarma Raj menuntut kesemua anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan peringkat Kumpulan B yang turut dibarisi oleh Korea Selatan dan Kanada.

Menurutnya, apa yang lebih penting, skuad negara harus mengelak daripada bertemu dengan pasukan lebih kuat pada peringkat suku akhir nanti seperti New Zealand yang berada dalam Kumpulan A.

Berdasarkan format pertandingan, mana-mana pasukan tetap layak untuk beraksi di pentas suku akhir walaupun kalah dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

"Kita perlu faham format kejohanan ini kerana kesemua pasukan berpeluang untuk bertemu sesama sendiri meskipun berada dalam kumpulan yang berbeza.

"Kita perlu jadi juara kumpulan atau mungkin berada di tangga ketiga untuk elak jumpa pasukan yang kuat tetapi kita tidak mahu perkara itu menghantui skuad yang turun kali ini.

"Jadi, apa yang lebih penting adalah beraksi dengan baik, tampil dengan prestasi maksimum untuk menang dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan," ujarnya.

Bagi aksi pembukaan menentang Perancis, beliau mahu setiap pemain memberi fokus tinggi bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh mengundang padah sehingga menyebabkan kekalahan.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998