MALAYSIA BERSEDIA!!

by - Monday, April 14, 2014

TIDAK boleh ambil mudah. Itu tanggungjawab yang harus dipikul skuad hoki senior negara menjelang dua kejohanan besar dalam tempoh sebulan iaitu Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang dan Kejohanan Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Skuad negara kini boleh dikatakan berada pada prestasi terbaik selepas mengharungi ujian pertama tahun ini apabila meraih tempat kedua pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bulan lalu.

Biarpun hanya mempertaruhkan sebahagian besar barisan remaja pada kejohanan itu, namun ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah membuktikan pertaruhan itu telah menuai hasil yang cukup cemerlang.


Justeru, keringat barisan remaja serta adunan pemain-pemain senior berpengalaman pastinya menjadi 'senjata' terbaik bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 yang akan bermula 26 April hingga 4 Mei depan di Kuantan.

Menurut Dhaarma Raj, beliau akan membariskan barisan terbaik pada kejohanan itu dalam usaha merebut slot automatik ke Trofi Juara-Juara 2016 seandainya berjaya muncul juara, sekali gus dapat memperbaiki pencapaian tahun lalu yang menyaksikan skuad negara menduduki tempat keempat.

"Kebanyakan pemain yang cedera seperti Roslan (Jamaluddin), Ismail Abu, Nabil Fiqri (Mohd. Nor), S. Kumar dan S. Selvaraju telah kembali menjalani latihan.

"Sebelum ini, keutamaan diberikan kepada barisan remaja (beraksi pada PSAS) tetapi kali ini, skuad negara bakal menurunkan barisan terbaik pada Cabaran Juara-Juara 1 nanti.

"Ini merupakan peluang terbaik kita untuk memperbaiki kedudukan tempat keempat pada edisi tahun lalu dan dalam masa yang sama, Cabaran Juara-Juara 1 menawarkan pungutan mata bagi membolehkan kita memperbaiki ranking dunia yang ketika ini di tangga ke-13.

"Kelebihan memihak kepada kita kerana beraksi di laman sendiri. Oleh itu, saya akan memilih barisan yang terbaik sahaja menggalas tugas getir ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Lebih menarik, Dhaarma Raj sudah mula 'pening kepala' memilih kuota 18 pemain yang akan menyarung jersi skuad negara apabila anak-anak buahnya dilihat 'berlumba-lumba' membuktikan keupayaan masing-masing pada setiap sesi latihan.

Bekas pengendali Skuad Projek 2013 itu mengakui persaingan sihat itu tercetus gara-gara kesemua pemain tidak mahu terlepas peluang beraksi terutamanya pada kempen Piala Dunia yang kali terakhir Malaysia layak pada tahun 2002 lalu.

Malah, kehadiran pemain berbakat dari Jerman, Kevin Lim yang merupakan pakar flick juga dilihat mampu menjelmakan semangat baharu kepada kem negara menjelang dua kejohanan utama tersebut.

Bagaimanapun, skuad negara sekali lagi terpaksa melupakan khidmat Muhammad Razie Abd. Rahim gara-gara mengalami kecederaan bahu kiri ketika beraksi bersama pasukan Dabur Mumbai Magicians dalam saingan Liga Hoki India (HIL) baru-baru ini.

Begitupun, Razie dijangka pulih sepenuhnya selepas berakhirnya Cabaran Juara-Juara 1 dan dia bakal bergandingan Kevin untuk mengukuhkan benteng pertahanan skuad negara sebelum terbang ke Belanda pada 31 Mei depan.

Mengulas lanjut, Dhaarma Raj berkata, enam siri perlawanan persahabatan dengan China bermula semalam hingga Ahad ini di Bukit Jalil serta dua aksi menentang Perancis dan Poland di Kuantan akan menjadi penanda aras sebelum memilih 18 pemain terakhir.

"Pemilihan akan berdasarkan prestasi yang dipamerkan setiap pemain pada perlawanan persahabatan itu nanti. Tiada pemain akan diberikan layanan istimewa.

"Semua pemain perlu bersaing merebut tempat masing-masing, tidak kira barisan remaja mahu pun pemain senior yang sudah kerap mewakili skuad negara sebelum ini," tegasnya.

Dalam masa sama, tonggak skuad negara, Faizal Saari mengakui dia dan rakan sepasukan yang lain sudah bersemangat tinggi untuk merebut tempat kedua pada kejohanan tersebut.

"Kami telah berlatih bersungguh-sungguh kerana kami mahu manampilkan prestasi yang lebih sempurna nanti. Saya tidak boleh dianggap antara pemain lama tetapi saya akan cuba bimbing rakan-rakan yang lain untuk memberikan komitmen seratus peratus.


DHAARMA RAJ (kiri) bangga melihat persaingan sengit dalam skuad kendaliannya bagi memburu tempat dalam skuad utama.

"Macam sekarang, latihan sepatutnya bermula pukul 7 pagi tetapi kami amalkan datang lebih awal sejam dan berlatih selama tiga jam berbanding kebiasaannya, dua jam sahaja.

"Sekarang kami banyak memberi tumpuan kepada tahap kecergasan dan latihan keras. Saya harap perancangan yang dirancangkan akan membuahkan hasil," katanya.

Tambahnya, ketiadaan Razie pada Cabaran Juara-Juara 1 memberikan sedikit tamparan kepada kem negara apatah lagi ketika ini mereka kekurangan pakar yang mampu menjelmakan gol menerusi pukulan sudut penalti.

"Kami agak terasa dia (Razie) tidak dapat bermain. Ia akan memberikan masalah terhadap pukulan sudut penalti kerana saya rasa pihak lawan akan dapat membaca percaturan kami.

"Pihak lawan pasti dapat meneka bahawa saya yang akan mengambil tugasan itu (pukulan sudut penalti) kerana dia (Razie) tidak bermain tetapi sekarang ini kita sudah ada beberapa pemain lain yang berupaya mengambilnya dengan baik," jelasnya.

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang telah meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada kempen Piala Dunia nanti dilihat masih belum menetapkan sebarang sasaran terhadap Cabaran Juara-Juara 1 meskipun tempoh kejohanan itu semakin hampir untuk dilangsungkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat MHC, Mohd. Johari Abdul Aziz yakin skuad kendalian Dhaarma Raj itu mampu meneruskan kecemerlangan seperti mana yang dipamerkan pada kempen PSAS lalu.

"Pasukan ini serba baharu dengan jurulatih (Dhaarma Raj menggantikan Paul Revington) dan beberapa muka baharu (pemain remaja dinaikkan pangkat menyertai skuad senior dan penyertaan Kevin Lim).

"Saya dapat lihat kesungguhan yang ada pada mereka walaupun pasukan ini boleh dikatakan seperti 'rombakan' baharu, saya rasa tidak mustahil mereka boleh melangkah lebih jauh lagi.

"Kami akan meletakkan sasaran dalam tempoh terdekat ini tetapi secara peribadi, saya menaruh keyakinan tinggi mereka mampu meneruskan kecemerlangan," katanya.

Meskipun ramai pemerhati beranggapan skuad negara mampu mencipta kejayaan pada Cabaran Juara-Juara 1, sebaliknya ramai juga antara mereka gusar dan kurang berkeyakinan terhadap peluang di Belanda nanti.

Sekiranya berhajat merekodkan kejayaan manis, lagenda hoki tanah air, Mirnawan Nawawi mempunyai pandangan tersendiri bahawa segala kepincangan yang wujud dalam skuad negara ketika ini perlu diatasi dengan kadar segera.

Jelasnya, perkara paling utama perlu ditumpukan ialah meningkatkan kekuatan di bahagian pertahanan kerana baginya, posisi yang lain tiada masalah berdasarkan prestasi semasa dipamerkan skuad negara ketika ini.

"Sekiranya kita ingin memenangi perlawanan, kita harus memastikan pertahanan kita tidak memberikan gol mudah. Bagi saya, kita perlu baiki barisan pertahanan dan elakkan daripada memberi pukulan sudut penalti yang mudah.

"Apa yang saya maksudkan pertahanan ini ialah bukan hanya pemain pertahanan, tetapi acara hoki sekarang ini perlukan komitmen berpasukan, bermula dari penjaga gol hinggalah ke penyerang," katanya.

"Kalau kita boleh sekat pasukan lawan meloloskan diri, saya percaya dan yakin, skuad negara mampu mencipta kejutan," katanya.

Apa yang pasti, dua kejohanan itu bakal menjadi medan terbaik untuk menguji kemampuan skuad negara sebelum menghadapi objektif utama tahun ini iaitu Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

Jika gagal pada Sukan Asia, maka skuad negara akan kempunan untuk layak ke Sukan Olimpik 2016.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998