MADZLI IKMAR BERSARA LAGI

by - Saturday, April 05, 2014

 Bekas kapten skuad hoki negara Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor akhirnya membuat keputusan menarik diri daripada skuad kebangsaan buat kali kedua dengan alasan utama mahu memberi fokus terhadap keluarga.

Madzli mengumumkan persaraan selepas tamat kempen kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland, tetapi dipanggil semula bekas jurulatih Paul Revington pada Oktober 2012, namun menolak tawaran itu.



Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun itu akhirnya menerima tawaran panggilan kedua pada Februari lalu, tetapi tidak mendapat tempat untuk beraksi di Piala Sultan Azlan Shah.



Sepanjang tempoh singkat kembali semula ke dalam kem negara, pemain pertahanan itu terpilih untuk bersama pasukan ke siri jelajah perlawanan persahabatan di Australia.


Ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan pengunduran Madzli yang sudah menghantar surat berhubung perkara itu kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), baru-baru ini.


“Sebelum mengambil keputusan itu, dia ada berjumpa saya dan menyatakan hasratnya itu tapi saya minta dia fikir baik-baik.

“Namun dia sudah menghantar surat kepada semua pihak termasuk MHC mengenai keputusannya untuk menarik diri dan saya tidak dapat berbuat apa-apa.


“Apapun, saya berterima kasih kepadanya kerana masih sanggup menerima panggilan skuad negara sebelum ini walaupun sudah mengumumkan untuk bersara,” katanya.

Ketiadaan Madzli bermakna Dhaarma kehilangan seorang lagi pemain senior tetapi pengendali berusia 45 tahun itu menegaskan, beliau masih mempunyai banyak pilihan untuk menghadapi saingan selepas ini dengan yang terdekat, Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April ini.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998