KEVIN PERLU BUKTIKAN

by - Wednesday, April 09, 2014

Pengalaman ber­aksi bersama pasukan terbaik dunia, Jerman bukan lesen besar buat Kevin Lim untuk berada dalam senarai 18 pemain utama skuad hoki kebangsaan bagi menghadapi kempen Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan pada 26 April ini.

Jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, pemain itu perlu terlebih dahulu memastikan dia layak untuk disenaraikan ke dalam skuad negara untuk kejohanan di Kuantan itu.


Menurut Muhammad Dharma, Kevin yang pernah membuat 30 penampilan di peringkat antarabangsa bersama skuad Jerman sebelum ini, akan mula menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan hari ini.

"Saya akan nilai setiap pemain dan untuk menjadi pemain simpanan sekali pun mereka perlu mempamerkan persembahan yang meyakinkan kerana saya hanya akan mempertaruhkan pasukan terbaik untuk kejohanan CC1 nanti.

"Bagi saya tiada istilah layanan istimewa kepada mana-mana pemain termasuk Kevin dan mereka perlu melalui beberapa ujian dalam perlawanan persahabatan sebelum saya mengumumkan se­narai 18 pemain ke Kuantan," katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan di sini semalam.

Bermain di bahagian pertahanan, Kevin, 28, pernah menyertai skuad Jerman pada 2005, selain mewakili Kelab Hoki Berlin (BHC) selama sembilan tahun.

Sementara itu, Muhammad Dharma turut memberitahu terpaksa menerima keputusan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor bersara daripada menyertai skuad kebangsaan biarpun mengakui pengalaman pemain tersebut diperlukan untuk perlawanan peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, keputusan bekas kapten skuad kebangsaan itu tidak mengganggu persiapan pasukan menghadapi kejohanan besar seperti CC1, Piala Dunia 2014 di Belanda dan Sukan Asia.

"Dia (Mohd. Madzli) telah memberitahu alasannya untuk berundur dan salah satunya adalah kerana faktor kecergasan," katanya.

"Sumbangannya kepada pasukan kebangsaan amat dihargai dan saya sebagai jurulatih hormat dengan keputusannya itu," kata Muhammad Dharma.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998