DRAMA UNTUK DHARMA

by - Wednesday, April 23, 2014

TINDAKAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang tidak memaklumkan mengenai pembatalan aksi persahabatan menentang Perancis kepada ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menimbulkan tanda tanya kepada pemerhati sukan hoki tempatan.

Dhaarma Raj turut mengakui beliau mendapat pengesahan pembatalan itu semalam sedangkan Perancis telahmemaklumkan kepada MHC minggu lalu.

Tindakan MHC itu mengejutkan kem skuad hoki negara kerana mereka seharusnya lebih prihatin dengan persiapan untuk menyertai Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Sabtu ini.


Biarpun Dhaarma Raj mengesahkan Ireland bersetuju untuk menggantikan Perancis pada aksi semalam, bekas pengendali skuad remaja itu tidak terlepas untuk melahirkan rasa terkilan dengan tindakan MHC tersebut.

“Saya tidak tahu Perancis tak jadi bermain dengan kami. Saya baru tahu hari ini (semalam) selepas berjumpa dengan jurulatih mereka dan beliau yang memaklumkan.

“Sebelum ini Ireland mahu mengadakan perlawanan persahabatan tetapi kami tolak sebab sudah ada Perancis dan Poland. Nasib baik mereka boleh jadi pengganti.

“Saya susah nak memilih 18 pemain terbaik kalau perkara macam ini berlaku. Perancis beritahu sudah sepuluh hari mereka menghantar e-mel (kepada MHC) tetapi saya tidak tahu apa-apa.

“Kami datang awal ke Pahang semata-mata untuk berlawan dengan Perancis (selain Poland). Ini boleh mengganggu persiapan saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada aksi semalam, skuad negara seri 1-1 dengan Ireland dan akan bertemu Poland esok bagi melengkapkan perlawanan ‘pemanas badan’ terakhir sebelum bermulanya Cabaran Juara-Juara 1.

Dalam perkembangan lain, tonggak skuad negara, Muhammad Razie Abdul Rahim yang mengejutkan ramai pihak setelah disenaraikan dalam pilihan awal 21 pemain tidak dibawa ke Pahang.

Dhaarma Raj menjelaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz tidak membenarkan selagi Razie belum pulih sepenuhnya.

“Razie tidak mendapat kebenaran daripada Dr. Ramlan untuk bermain. Oleh itu, saya tidak membawanya ke sini dan kekal dengan 20 pemain yang dipilih.

“Selepas perlawanan menentang Poland (esok), baru saya akan umumkan 18 pemain yang akan beraksi pada Cabaran Juara-Juara 1 kali ini,” jelasnya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998