DHARMA TIDAK MAHU PENUMPANG

by - Wednesday, April 09, 2014

KETUA jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan bahawa tiada keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pemain menjelang Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang pada 26 April hingga 4 Mei depan.

Pendedahan itu menyebabkan pemain berbakat dari Jerman, Kevin Lim yang menjejakkan kaki di Kuala Lumpur semalam akan menerima layanan yang sama seperti semua pemain hoki negara lain.


Dhaarma Raj berkata, 18 pemain yang akan terpilih menggalas tugas negara pada Cabaran Juara-Juara 1 nanti seharusnya memberikan sumbangan yang sama sebaris dengan pemain utama biarpun lebih banyak ‘memanaskan’ bangku simpanan.

“Saya tidak mahu pemain yang duduk di bangku simpanan hanya memberikan sumbangan yang kecil kepada pasukan.

“Saya tidak kisah pemain itu datang dari mana, tidak kira sama ada barisan remaja ataupun senior yang sudah berpengalaman, dia mesti boleh menyumbang sama banyak dengan pemain utama.

“Kevin (Lim) juga perlu turun menjalani latihan bersama pasukan dan merebut tempatnya kalau mahu beraksi pada kejohanan itu (Cabaran Juara-Juara 1).

“Tiada jaminan buat sesiapa, mereka perlu bersaing merebut tempat masing-masing. Apa yang paling mustahak sekarang ini ialah apa kemampuan pemain dapat berikan kepada skuad negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Dhaarma Raj berkata, seramai 20 pemain akan terpilih berdasarkan prestasi dipamerkan dalam enam siri perlawanan persahabatan menentang China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula Ahad ini hingga 20 April depan.

Dua pemain daripada senarai itu akan digugurkan selepas dua perlawanan persahabatan menentang Perancis dan Poland di Kuantan, Pahang bagi melengkapkan kuota 18 pemain menyarung jersi negara ke Cabaran Juara-Juara 1.

Skuad hoki negara yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen Cabaran Juara-Juara 1 kali ini menentang Perancis (26 April), Korea Selatan (27 April) dan Kanada pada 29 April depan.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Cabaran Juara-Juara 1 ialah tempat keempat pada 2001 dan 2012.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998