#CC1 TIDAK MUSTAHIL UNTUK KITA BERGELAR JUARA

by - Saturday, April 26, 2014

BEKAS kapten pasukan hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi yakin skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah mampu meneruskan kecemerlangan seperti mana yang dipamerkan pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan lalu, ketika berdepan saingan pembukaan Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) menentang Perancis di Kuantan, Pahang, malam ini.

Menurut Mirnawan, skuad negara yang dilihat berada pada prestasi terbaik selepas meraih tempat kedua pada PSAS bulan lalu, berupaya muncul juara buat kali pertama selaku tuan rumah.


Malaysia diundi dalam Kumpulan B pada CC1 kali ini bersama Korea Selatan, Kanada dan Perancis, manakala Kumpulan A menyaksikan New Zealand, Jepun, Ireland dan Poland akan berentap untuk menjadi yang terbaik.

“Pasukan ini serba baharu dengan jurulatih (Dhaarma Raj menggantikan Paul Revington) dan beberapa muka baharu (pemain remaja dinaikkan pangkat menyertai skuad senior dan penyertaan Kevin Lim).

“Saya dapat lihat kesungguhan yang ada pada mereka walaupun pasukan ini boleh dikatakan seperti rombakan baharu, tapi saya rasa tidak mustahil mereka boleh melangkah lebih jauh lagi dan saya menaruh keyakinan tinggi mereka mampu meneruskan kecemerlangan,” katanya.

Malah bagi Mirnawan, keyakinan itu semakin tinggi dengan adanya kehadiran pemain berbakat dari Jerman, Kevin yang merupakan pakar flick di mana ia mampu menjelmakan semangat baharu kepada kem negara menjelang kejohanan tersebut.

"Meskipun kehilangan Muhammad Razie Abd Rahim memberi tamparan hebat, namun saya percaya kehadiran Kevin dapat menampung kelemahan itu. Bagi saya Kevin adalah pemain yang amat berpengalaman dan sudah tentu pengalamannya itu dapat dikongsikan, terutama apabila skuad kebangsaan menentang Perancis nanti.

"Apa pun, kejohanan ini merupakan peluang terbaik buat skuad negara untuk memperbaiki kedudukan tempat keempat pada edisi tahun lalu dan dalam masa yang sama, CC1 menawarkan pungutan mata bagi membolehkan kita memperbaiki ranking dunia yang ketika ini di tangga ke-13," katanya lagi.

Bagaimanapun Mirnawan tetap mengingatkan anak buah Dhaarma Raj agar tidak sesekali memandang mudah sebaliknya, perkara paling utama perlu ditumpukan ialah meningkatkan kekuatan di bahagian pertahanan kerana baginya, posisi yang lain tiada masalah berdasarkan prestasi semasa dipamerkan skuad negara ketika ini.

“Sekarang ini hanya dua negara mampu memberi ancaman kepada kita iaitu New Zealand dan Korea Selatan. Tapi itu tak bermakna kita boleh memandang mudah cabaran Perancis dan Ireland.

"Oleh itu, sekiranya kita ingin memenangi perlawanan, kita harus memastikan pertahanan kita tidak memberikan gol mudah. Lagipun, saya lihat bahagian pertahanan masih lemah dan perlu diperbaiki, skil sahaja tidak mencukupi malah kecergasan fizikal sentiasa perlu berada pada tahap terbaik bagi mencapai prestasi memuaskan,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998