#CC1 SHAHRUN NABIL JUGA TERCICIR DARI SENARAI

by - Saturday, April 26, 2014

Persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam skuad hoki negara menyaksikan Mohd. Shahrun Nabil Abdullah menerima berita mengejutkan apabila dia tercicir daripada senarai pasukan yang akan bersaing dalam Cabaran Juara-Juara 1 (CC1) di sini.

Keputusan mengejut itu di­umumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, yang turut menyaksikan Muhammad Razie Abdul Rahim dan Muhamad Ramadan Rosli turut digugurkan daripada pasukan ke kejohanan itu, yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia bermula hari ini.


Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sesi pemilihan yang ketat dibuat terhadap 21 pemain sebelum ini bagi memastikan mereka mendapat skuad 18 pemain terbaik untuk kejohanan tersebut.

"Keputusan itu dibuat kerana perlawanan tersebut hanya memerlukan 18 pemain dan kita memerlukan gabungan pemain muda dan senior," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, kejohanan itu menjadi petunjuk penting dalam memastikan kedudukan skuad hoki negara dalam ranking dunia terus diperbaiki, dan sebagai persiapan menjelang kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda 30 Mei depan.

"Ini adalah barisan terbaik yang dipilih selepas mereka mengharu­ngi perlawanan persahabatan de­ngan China yang mana kita telah menang sebanyak tiga perlawanan, satu perlawanan kita kalah dan satu lagi kita seri.

"Dengan percaturan terbaik skuad yang menggabungkan pemain remaja dan senior, saya percaya kita mampu melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, para pemain yang tidak terpilih menganggotai skuad yang bermain dalam kejohanan itu masih berpeluang disenaraikan ke Belanda nanti.

Dalam pada itu, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik dalam CC1 dan berharap ber­ada dalam kedudukan pertama di peringkat kumpulan.

"Dengan kedudukan pertama di peringkat kumpulan memudahkan lagi kita melangkah ke final selepas ini. Harapan saya para pemain yang dipilih dapat buat yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Perancis, Korea Selatan dan Kanada manakala Kumpulan A pula terdiri daripada New Zealand, Jepun, Ireland dan Poland.

Malaysia akan menentang Perancis pada pukul 9 malam hari ini.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998