#CC1 MALANG LAGI BUAT MALAYSIA

by - Monday, April 28, 2014

SKUAD hoki kebangsaan terus dirundung malang setelah tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan malam tadi.

Malaysia kini menghuni tangga tercorot Kumpulan B yang turut dianggotai Korea Selatan, Kanada dan Perancis setelah gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan.

Skuad negara turut tewas tipis 3-2 dalam perlawanan pembukaan menentang Perancis malam kelmarin.


Skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketinggalan seawal minit ke-20 menerusi jaringan Nam Hyun menerusi puku- lan sudut penalti.

Meskipun memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama segala-galanya bagaikan tidak menjadi buat skuad negara apabila dua cubaan pemain kebangsaan sekadar terkena tiang gol.

Kealpaan barisan pertahanan pasukan kebangsaan sekali lagi dihukum ketika masuk minit kedua separuh masa kedua menjadikan kedudukan 2-0 kali ini menerusi gol padang hasil jaringan You Hyo Sik.

Pada minit ke-50, Korea Selatan bertambah selesa menerusi jaringan Jang Jong Hyun untuk mendahului 3-0.

Skuad kebangsaan bagaimanapun tidak berputus asa dan terus mengasak sehingga minit-minit akhir perlawanan dan berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi gol padang Ismail Abu pada minit ke-69 yang sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan maruah negara.

Dalam perlawanan lain Kumpulan B semalam, Kanada menang tipis 3-2 menentang Perancis.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, New Zealand mengukuhkan cengkaman di tangga teratas kumpulan menerusi kemenangan bergaya 6-1 ke atas Jepun manakala Poland menang 2-1 menentang Ireland.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998