#CC1 IGAUAN NGERI MENANTI MALAYSIA

by - Wednesday, April 30, 2014

Pasukan ranking keenam dunia, New Zealand bakal menyajikan mimpi ngeri buat skuad negara di pentas suku akhir Cabaran Juara-Juara 1 esok.

Walaupun skuad negara mencatatkan kemenangan 4-3 mengatasi Kanada pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B malam tadi, ia tidak cukup untuk mengatasi Perancis.


Kemenangan itu yang pertama buat skuad negara selepas tewas dua perlawanan awal.



Terikat tiga mata dengan Perancis, perbezaan jaringan memihak kepada negara Eropah itu menyebabkan Malaysia menghuni tangga tercorot.


“Mungkin kemenangan ini lebih manis jika kami dapat menjaringkan lebih banyak gol seperti diharapkan dan tidak bertemu New Zealand.


“Saya fikir semua pasukan tidak mahu lawan mereka namun kita sudah memulakan rentak kemenangan. Mungkin peratusan untuk kita menang agak kecil namun kita akan tetap berjuang,” kata jurulatih negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.


Menurutnya, New Zealand mempunyai kelebihan dalam pelbagai aspek namun berharap nasib akan menyebelahi Malaysia dengan mengharapkan persembahan lawan tidak menjadi seperti biasa.


New Zealand jelas berada dalam kelas tersendiri apabila membelasah Poland 8-3 malam tadi sekali gus mempamerkan kekuatan Black Sticks yang kini sudah mengumpul 16 gol selepas tiga perlawanan Kumpulan A.

Malaysia turun agresif sejak minit pertama dalam misi mengelakkan pasukan pilihan, New Zealand di suku akhir.


Kanada terlebih dulu mengejutkan Malaysia apabila mendahului hasil pukulan penalti stroke, Scott Tupper pada minit keempat.


Namun anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bangkit menerusi dua jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ahmad Jalil dan Muhammad Shahril Saabah.


Lawan tidak mudah mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi jaringan Gabriel Ho-Garcia.


Pemain negara tampil memperkemaskan permainan dalam baki 35 minit apabila meledak dua gol menerusi Shahril dan Tengku Ahmad Tajuddin dengan Tupper turut menambah jaringan untuk kedudukan akhir 4-3.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998