#CC1 DHARMA JANJI BANGKIT

by - Tuesday, April 29, 2014

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak menafikan prestasi hambar yang dipamerkan anak buahnya ketika berdepan dengan Korea Selatan dan Perancis dalam dua perlawanan awal kempen Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki, Indera Mahkota di sini kelmarin dan semalam disebabkan tiada keserasian antara pemain.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Dharma, pihaknya telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk dari segi psikologi bagi memastikan penampilan aksi yang lebih mantap oleh skuad negara, bermula perlawanan malam ini.

"Semuanya berlaku disebabkan beberapa perubahan dari segi taktikal permainan. Eksperimen tersebut terpaksa dilakukan dalam aksi peringkat kumpulan untuk menentukan kesebelasan terbaik sebagai persediaan menghadapi pusingan kalah mati Khamis ini.

"Ramai berpendapat berdasarkan permainan semalam, (ketika menentang Korea Selatan) pasukan kelihatan tidak bersemangat. Pemain senior dan junior dikatakan tiada persefahaman serta ada pemain yang tidak gembira, namun semua itu tidak benar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pasukan negara tewas 2-3 kepada Perancis dalam perlawanan pertama Sabtu lalu sebelum tewas lagi 1-3 menentang Korea Selatan kelmarin untuk menduduki tangga tercorot Kumpulan B.


Tambah Dharma, pihaknya kini dalam situasi sukar untuk bertemu pasukan pilihan, iaitu New Zealand dalam pusingan seterusnya sekiranya mengekalkan kedudukan tercorot sebaik tamat perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan menentang Kanada esok (malam ini), namun ia mungkin tidak memberikan sebarang makna sekiranya Perancis menang atau seri menentang Korea Selatan dalam perlawanan sebelumnya," jelasnya.

New Zealand hampir pasti akan mengekalkan kedudukan teratas dalam kumpulan A dengan dua kemenangan dalam dua perlawanan dan pasukan di tangga teratas Kumpulan A akan bertemu pasukan tangga tercorot Kumpulan B Khamis ini.

Sementara itu, pengurus pasukan, George Koshy menolak andaian bahawa wujud konflik dalaman dalam skuad negara sehingga menyebabkan Malaysia masih gagal meraih kemenangan pada kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 semalam.

Beliau berkata semangat berpasukan pemainnya tidak terjejas oleh masalah kecil.

"Mereka semua adalah pemain profesional dan tidak mudah patah semangat jika terdapat masalah kecil yang timbul dalam pasukan, kerana semua telah dilatih untuk bijak bertindak apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan. Sebab itu mereka dipilih untuk mewakili negara," katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998