BUKAN SEKARANG UNTUK FAEEZ

by - Monday, April 07, 2014

Ketua jurulatih hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak akan memanggil bekas pakar pukulan sudut penalti skuad remaja Mohd Nor Faeez Ibrahim untuk menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bermula 26 April ini.

Dhaarma dilihat berdepan dilema kerana tidak banyak pilihan pemain mengambil pukulan sudut penalti selepas pakar gerakan itu, Muhammad Razie Abd Rahim dijangka masih tidak dapat diturunkan di Kuantan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu.



Ketiadaan Razie menyaksikan hanya Faizal Saari, Shahril Saabah serta Ahmad Kazamirul Nasruddin menggalas tugas itu, tetapi sekiranya Faeez dipanggil, kehadirannya mungkin akan banyak membantu Dhaarma menyelesaikan dilema yang dihadapinya itu.



“Tidak, saya tak mungkin akan memanggilnya sekarang. Walaupun hati saya sememangnya mahu dia bersama dengan pasukan ketika ini, tetapi Faeez tiada dalam senarai 35 pemain awal yang kami panggil sebelum ini dan oleh itu, saya tidak boleh suka-suka memanggilnya ketika ini,” katanya.


Jelas Dhaarma, ketika skuad negara di bawah bimbingan Paul Revington, pengendali dari Ireland itu sememangnya ada menawarkan tempat dalam skuad kebangsaan kepada Faeez, tetapi bekas kapten skuad remaja negara itu menolaknya.


“Bagi saya, Faeez adalah antara pakar pukulan sudut penalti terbaik negara. Dia banyak membantu ketika skuad remaja memenangi Piala Remaja Asia di Melaka dua tahun lalu.

“Tapi saya difahamkan tiada maklum balas daripadanya sebaik ditawarkan untuk bersama dalam kem skuad negara.


“Saya tetap akan memanggilnya tetapi bukan sekarang.

“Yang penting dia juga kena tunjukkan minat menyarung jersi negara,” katanya.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998