YAMAHA EGO LC TERBARU

by - Wednesday, March 05, 2014

TEMPOH tiga bulan lalu menyaksikan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperbaharui rangkaian produk skuternya sebagai salah satu strategi untuk kekal relevan dalam edaran semasa pasaran skuter Malaysia.

Pemasang dan pengedar produk jenama Yamaha itu tampil dengan dua model skuter baharu iaitu Yamaha Ego S dan Ego LC yang didatangkan bersama teknologi sistem pancitan terus bahan api YMJET-FI (Yamaha Mixture JET-Fuel Injection).
 


Sistem YMJET-FI yang dipasang pada model Ego S dan Ego LC merupakan komponen khas yang dibangunkan oleh syarikat prinsipal, Yamaha Motor Co. Ltd. (YMC) bagi kegunaan jentera transmisi automatik. Teknologi berkenaan ada perbezaan jika dibandingkan dengan sistem pancitan bahan api pengeluar lain.

Sistem pancitan konvensional menyampaikan minyak petrol ke dalam kebuk pembakaran dalam bentuk semburan manakala YMJET-FI pula melepaskan bahan api dalam bentuk gas seperti kabus. Kelebihan YMJET-FI membolehkan wasap petrol memenuhi ruangan atas bahagian omboh untuk pembakaran lebih efisien.

Ini membolehkan jentera Ego S dan Ego LC menikmati kuasa maksimum tanpa pembaziran petrol sekali gus mengurangkan kadar emisi karbon. HLYM mendakwa teknologi YMJET-FI membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 20 peratus berbanding model sebelumnya.

Baru-baru ini, penulis diberi kesempatan oleh HLYM untuk menunggang uji kedua-dua model baharu Ego untuk menilai sejauh mana kehebatan produk tawarannya kali ini. Sesi ujian diadakan di sekitar kawasan ibu negara.

Yamaha Ego S baharu yang dilancarkan pada Disember lalu masih mengekalkan saiz kompak tetapi dengan konsep rekaan menarik. Ekspresi model itu didominasi oleh set lampu utama bahagian hadapan yang agak besar. Sentuhan baharu juga diberikan pada set lampu belakangnya dan juga bahagian instrumen meter.

Enjin Ego S dihidupkan dengan menarik mana-mana tuil brek tangan sambil menekan punat butang pemula. Periksa tongkat tunggal sebelum memulakan perjalanan. Model itu tidak dilengkapi sensor untuk mematikan enjin jika tongkat belum dinaikkan.

Sewaktu memulas pendikit minyak melepasi paras kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), kuasa tarikan enjin boleh dinikmati. Perahan sepenuhnya mendapati skuter kecil itu mampu mencapai kelajuan maksimum 103km/j di laluan lurus.

Bekalan petrol sebanyak empat liter membolehkan penulis merekodkan jarak perjalanan sejauh 160km dalam kawasan bandar. Itu termasuk berdepan situasi kesesakan lalu lintas dan berhenti di barisan lampu isyarat. Kadar kelajuan tunggangan dikekalkan antara 60km/j hingga 100km/j.

Ujian kedua membabitkan tunggangan campuran antara jalan bandar dan laluan lebuh raya dengan kos belanja petrol sebanyak RM12 (5.71 liter). Catatan jarak perjalanan yang berjaya dikecapi bagi pengisian itu ialah 306km. Secara purata satu liter petrol menyamai jarak 53km. Impresif.

Respons enjin sepanjang sesi ujian tidak mencetuskan sebarang kesan getaran yang menjengkelkan. Pada kelajuan maksimum juga, penulis mendapati Ego S amat stabil dan cukup responsif untuk menyelit di antara barisan kenderaan beroda empat biarpun memotong lori dan bas di laluan lebuh raya.

Kestabilan jentera seberat 90 kilogram itu disokong oleh padanan fork dan sistem penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang. Prestasinya cukup cemerlang sehinggakan tiada perasaan ragu-ragu untuk melayan selekoh pada kelajuan maksimum.

Ego S didatangkan dengan sekeping brek cakera pada roda hadapan dan brek belakang jenis gelendong untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera sepenuhnya. Kekurangan paling jelas model Ego S ialah kemudahan ruang kargo. Ia masih terlalu kecil untuk menyimpan barang bersaiz besar.

Sesi ujian kedua melibatkan Ego LC. Skuter saiz pertengahan itu dilancarkan ke pasaran beberapa minggu lalu itu memiliki beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan Ego S.

Jika tongkat sisi masih belum dinaikkan, enjin skuter itu tidak boleh dihidupkan. Ia merupakan satu ciri keselamatan untuk menggelak berlakunya kemalangan akibat cuai menaikkan tongkat.

Malah jika tongkat itu diturunkan sewaktu enjin hidup, lampu amaran pada meter instrumen akan berkerdip sebanyak tiga kali dan enjin dimatikan serta-merta.

Respons tork sama seperti model Ego S iaitu apabila jarum meter laju melepasi paras 40km/j, penunggang boleh merasai kuasa tarikan. Kelajuan maksimum yang berjaya direkodkan hanyalah 120km/j.

Sewaktu kelajuan jentera melepasi paras 100km/j, tapak kaki penulis terasa seperti berdenyut-denyut. Itu kesan getaran daripada bahagian enjin.

Berbekalkan satu isian tangki penuh petrol sebanyak 3.8 liter, jarak perjalanan yang mampu dicapai sekadar 110km. Catatan itu mengambil kira paras kelajuan antara 80km/j hingga 110km/j.

Berhubung prestasi membrek, penulis kurang berpuas hati memandangkan ia agak lembap jika dibandingkan dengan Ego S. Kedua-dua model menggunakan jenis brek sama pada kedua-dua bahagian roda.

Sungguhpun begitu, Ego LC tetap lincah apabila bermain di kawasan selekoh. Imbangan jentera agak baik hasil padanan fork hadapan dan monoshock (bahagian belakang) yang tidak membuai sewaktu memecut.

Ruang kargo di bawah pelana membolehkan anda menyimpan sebuah topi keledar jenis separuh dan beberapa barangan kecil. Satu kelebihan jika dibandingkan dengan Ego S.

Setakat ini, HLYM sudah memadankan teknologi YMJET-FI pada dua daripada tiga model sukter dalam rangkaiannya. Satu lagi model iaitu Nouvo LC masih menggunakan sistem karburator. Sama ada model itu akan diperbaharui atau tidak, kita nantikan sahaja pengumuman daripada HLYM. - KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998