TAHNIAH,MALAYSIA BELASAH CHINA 7-3

by - Thursday, March 20, 2014

MALAYSIA beraksi garang apabila membelasah China 7-3 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak malam tadi.

Skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu tidak menunggu lama merobek gawang China apabila Muhammad Marhan Mohd. Jalil meledak gol pembukaan menerusi jaringan padang pada seawal minit keenam.

Malaysia yang dibarisi ramai pemain muda menambah gol kedua selang empat minit kemudian, berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten, Azlan Misron.

Anak-anak buah Dhaarma Raj terus mempamerkan aksi permainan kemas selain jarang melakukan kesilapan dan situasi itu menutup ruang buat China untuk memburu gol.

Menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan gol ketiga pada minit ke-24.

Bermula gerakan dari tengah padang, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil membuat satu pukulan deras bagi menewaskan penjaga gol China, Yan Rong Yao pada minit ke-23 untuk gol keempat Malaysia.


Aksi cemerlang Malaysia berterusan apabila Muhammad Shahril Saabah menambah gol kelima pada minit ke-30.

Bermula babak kedua, rentak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan.

China akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ke-44 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan E Liguang sebelum Malaysia membalas seminit kemudian menerusi pukulan penalti Fitri Saari.

China menambah gol kedua hasil jaringan Du Talake yang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-61.

Muhammad Firhan Ashaari melengkapkan malam gemilang Malaysia apabila menjaringkan gol ketujuh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

China makin agresif melancarkan serangan ke kubu Malaysia sebelum Du Talake menjaringkan gol kedua peribadinya pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menghuni tangga teratas dengan mengutip 10 mata dan kini berada di landasan terbaik bagi memburu tiket final.

Dalam satu lagi pertemuan yang berlangsung semalam, Afrika Selatan menewaskan Kanada 3-2.

Gol-gol Afrika Selatan dijaringkan oleh Timothy Drummond, Julian Hykes dan Lungile Tsolekile manakala Kanada memperoleh gol menerusi Scott Tupper dan Matthew Guest.KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998