PEMAIN SENIOR UNTUK CABARAN JUARA-JUARA 1

by - Wednesday, March 12, 2014

KETUA jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengumumkan senarai 18 pemain yang akan menggalas cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bermula esok.

Kelmarin, Dhaarma Raj enggan mendedahkan senarai penuh skuad yang akan beraksi pada PSAS, sebaliknya hanya memberi bayangan akan mempertaruhkan ramai barisan remaja pada kejohanan kali ke-23 itu.

Ternyata, apa yang dikatakan Dhaarma Raj itu adalah tepat apabila majoriti pemain remaja yang pernah bersamanya dalam skuad Projek 2013 mendapat kepercayaan beraksi pada kempen PSAS kali ini.


Dhaarma Raj berkata, beliau membuat pemilihan itu kerana mahu merehatkan pemain-pemain senior bagi memberi laluan kepada mereka beraksi pada Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang bulan depan.

Menurutnya, beliau yakin barisan pemain yang dipilih mampu merealisasikan sasaran tiga terbaik yang disasarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada saingan di Ipoh nanti.

“Pemain-pemain muda ini sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan yang berkualiti tinggi seperti PSAS ini.

“Saya tidak memandang rendah keupayaan pemain senior tetapi seperti saya katakan selama ini, khidmat mereka lebih diperlukan dan saya mahu mereka bersedia untuk saingan Cabaran Juara-Juara 1.

“Saya percaya inilah masa yang sesuai buat barisan pemain muda membuktikan keupayaan mereka mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik pada PSAS,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, Dhaarma Raj menuntut anak-anak buahnya itu supaya mengekalkan rentak seperti mana dipamerkan ketika tiga sesi perlawanan persahabatan menentang Kanada di Melaka, minggu lalu.

“Saya yakin mereka (pemain-pemain remaja) patut diberi peluang. Daripada pandangan peribadi saya pula, kita memang tidak boleh bermain untuk perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.

“Sekrianya mereka mengekalkan persembahan seperti di Melaka, saya rasa tiada masalah untuk mendapatkan tempat ketiga dan kemungkinan juga kita boleh masuk ke final.

“Jadi, jika perkara itu berlaku pastinya akan ada persaingan yang mantap untuk pemilihan ke Cabaran Juara-Juara 1 bulan depan,” katanya.

Semalam, anak-anak buah Dhaarma Raj tewas 0-1 kepada China dan 1-5 ketika menentang Australia dalam dua aksi pemanas badan terakhir sebelum mereka menghadapi kempen PSAS.

Mereka akan memulakan kempen tersebut menentang Afrika Selatan esok sebelum bertemu Korea Selatan (16 Mac), Kanada (17 Mac), China (19 Mac) dan Australia (22 Mac). - KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998