MALAYSIA TANPA PENJAGA GOL UTAMA

by - Wednesday, March 05, 2014

 Dua penjaga gawang utama negara S Kumar serta Roslan Jamaluddin mungkin tidak terpilih ke saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 13 Mac ini selepas kedua-duanya berdepan masalah kecederaan.

Kumar yang terus memegang status selaku penjaga gol utama negara mengalami kecederaan hamstring manakala Roslan yang sering menjadi pilihan kedua sakit buku lali.


Ketua jurulatih negara Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, ketiadaan kedua-dua benteng terakhir negara itu sememangnya memberikan masalah namun beliau juga menganggap ia sesuatu yang positif, sekali gus tidak menolak menggunakan khidmat penjaga gol baru.



“Saya akui kedua-dua penjaga gol ini sangat berpengalaman kerana sudah berbelas tahun mewakili negara. Tapi sampai bila kita mahu meletakkan sandaran kepada mereka berdua saja? “Saya fikir sudah tiba masanya kita cuba mengetengahkan bakat baru. Kita mempunyai beberapa penjaga gol muda yang bagus, antaranya Mohd Hafizuddin Othman yang saya bawa pada siri perlawanan persahabatan di Australia, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi semalam.


Hafizuddin penjaga gol utama skuad remaja negara pada saingan Piala Dunia Remaja di New Delhi, India hujung tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.


Dia juga cemerlang ketika beraksi pada saingan Piala Sultan Johor, September tahun lalu apabila membantu skuad negara muncul naib juara selepas tewas kepada India pada aksi final.

Mengulas mengenai enam siri perlawanan bersama kelab dan skuad kebangsaan Australia yang menyaksikan skuad negara tewas semua enam perlawanan, Dharma mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi hampir keseluruhan 16 pemain yang dibawa.


“Saya mahu melihat adakah mereka mampu memikul tugas ketika tiada barisan pemain utama memperkuatkan pasukan. Pada penilaian saya, hanya ada satu dua pemain memenuhi penilaian saya,” katanya.METRO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998