MALAYSIA GUNA PLAN B

by - Wednesday, March 19, 2014

MALAYSIA akan menggunakan ‘Pelan B’ pada pertemuan menentang China pada aksi keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak malam ini.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mendedahkan, beliau terpaksa melakukan percaturan itu apabila pakar flick, Faizal Saari berkemungkinan besar digantung satu perlawanan.

Ia gara-gara situasi yang berlaku ketika Malaysia merakamkan kemenangan 3-1 ke atas Kanada pada aksi keempat malam kelmarin.

Menurut Dhaarma Raj, status Faizal hanya akan diketahui pagi ini selepas pihak pengurusan pasukan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejohanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia tetap sedia bertarung habis-habisan bagi memenuhi misi wajib - meraih tiga mata penuh walaupun tanpa ketiadaan Faizal.



“Esok (pagi ini) baru boleh tahu sama ada dia (Faizal) boleh main atau tidak. Kalau digantung, boleh jadi satu hingga tiga perlawanan.

“Saya akui jika Faizal tiada, ia agak sukar kerana ada dua perkara boleh berlaku. Pertama, moral pemain-pemain akan jatuh dan keduanya, jangan jadikan ia satu isu yang besar tetapi kita harus terima apa juga keputusan.

“Saya harap Faizal atau mana-mana pemain yang lain belajar dan mengambil iktibar daripada kesilapan ini.

“Jadi, saya akan menggunakan Pelan B esok (malam ini). Kami akan terus berjuang, bermain dengan apa yang ada dan mereka perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar bagi mengutip tiga mata penuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj turut mengakui persembahan dipamerkan China pada kempen kali ini di luar jangkaan apabila berjaya membelasah Afrika Selatan 5-0 serta tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan.

“Semua orang tahu China menyertai PSAS sebagai pasukan gantian menggantikan negara yang menarik diri seperti India dan Pakistan.

“Mereka dapat beraksi bagus dan pada satu ketika boleh mendahului Korea Selatan 2-1 biarpun tewas juga 2-3. Jadi, kami tidak boleh ambil mudah dan perlu menghormati mereka. Apa pun, kami wajib menang esok (malam ini) jika mahu ke final,” jelasnya.KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998