KOKUBURRAS TERLALU HANDAL

by - Monday, March 24, 2014

TUAH tidak menyebelahi pasukan kebangsaan untuk melakar kemenangan ke atas Australia apabila tewas 3-8 di pentas final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Ia sekali gus mengecewakan harapan kira-kira 15,000 penonton untuk melihat aksi skuad negara membenam juara sebanyak tujuh kali itu di pentas kejohanan yang sama.

Permulaan rancak oleh skuad negara masih belum mencukupi apabila Australia merekod gol pertama seawal minit kelima oleh Chris Ciriello menerusi pukulan sudut penalti.



Percubaan pasukan kebangsaan untuk mengutip jaringan pertama tidak membuahkan hasil selepas hantaran Muhamad Ramadan Rosli berjaya disekat pihak lawan.

Australia hanya mengambil masa seminit sahaja untuk membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-11 hasil pukulan Eddie Ockenden menerusi jaringan padang.

Biarpun ketinggalan 2-0 pada 11 minit pertama perlawanan, pasukan negara terus mempamerkan gaya permainan yang agresif.

Australia yang terus memberi tekanan kepada skuad negara berjaya menambah jaringan pada minit ke-17 melalui pukulan sudut penalti oleh Ciriello.

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akhirnya berjaya membolosi gawang Australia pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Shahril Saabah.

Ketinggalan 1-3 membangkitkan semangat pasukan kebangsaan selepas berjaya mengutip gol kedua pada minit ke-40 hasil jaringan padang oleh Muhammad Rashid Baharom.

Anak-anak buah Ric Charlesworth terus memberikan asakan dengan mengutip dua gol tambahan pada minit ke-42 dan minit ke-46 hasil pukulan sudut penalti oleh Ciriello dan Nicholas Budgeon.

Ciriello sekali lagi menghadiahkan gol keenam buat pasukannya pada minit ke-53 hasil pukulan sudut penalti sebelum kehadiran gol ketujuh oleh Matt Gohdes pada minit ke-65.

Masih belum berputus asa biarpun ketinggalan lima jaringan, hantaran Fitri Saari pada minit ke-68 melalui jaringan padang memberi sedikit sinar kepada skuad negara untuk mengejar kedudukan 3-7.

Ternyata skuad negara terpaksa pasrah apabila gol kelapan Australia oleh Tristan White pada minit ke-68 tidak berbalas sehingga wisel penamat.

Dalam pada itu, Juara Asia, Korea Selatan mengalahkan China 3-2 untuk menduduki tempat ketiga manakala Kanada pula merangkul tempat kelima selepas menewaskan Afrika Selatan 2-0.


You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998