KEVIN LIM BERSAMA PASUKAN NEGARA CERAH

by - Thursday, March 06, 2014

PELUANG skuad hoki senior negara mendapatkan sentuhan pemain berbakat dari Jerman, Kevin Lim kini dilihat semakin cerah.

Berdasarkan faktor kerakyatan Malaysia yang dimiliki Kevin, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mungkin tidak berdepan masalah dan kini dalam proses menyelesaikan perihal status tersebut.


Perkara itu disahkan Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek tajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Hotel Concorde, Kuala Lumpur semalam.

Katanya, Kevin telah mempamerkan aksi mengagumkan bersama skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Australia baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azmi mendedahkan bahawa status warganegara Kevin itu masih lagi dalam perbincangan dengan Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH).

Justeru, pihak MHC akan bekerja keras menyelesaikan perkara tersebut bagi memastikan flicker berusia 28 tahun itu dapat menyarung jersi skuad negara di Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang pada April depan.

"Memang peluang agak cerah untuk mendapatkan khidmatnya (Kevin) kerana dia memiliki MyKad sendiri dan bapanya (Git San) pula berasal dari Pulau Pinang.

"Namun, kami perlu mendapatkan kebenaran daripada FIH dan Persekutuan Hoki Jerman terlebih dahulu untuk melepaskan Kevin. Ia adalah sebahagian daripada prosedur yang perlu diselesaikan," katanya selepas majlis penyerahan cek tajaan untuk PSAS yang nilai keseluruhannya berjumlah RM1.89 juta.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abd. Rahim Md. Arif, Setiausaha MHC, Datuk Johari Abdul Aziz serta barisan penaja PSAS dan bekas-bekas pemain hoki kebangsaan.

Kejohanan PSAS itu merupakan ujian pertama yang perlu diharungi skuad negara sepanjang tahun ini termasuk Cabaran Juara-Juara 1, Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda (Mei), Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (Julai) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-23 itu akan disertai enam negara termasuk Malaysia iaitu Australia, Korea Selatan, Afrika Selatan, Kanada dan China dan berlangsung selama 10 hari, bermula 13 hingga 23 Mac ini.

Perlawanan pertama skuad negara pula dijadualkan menentang Afrika Selatan yang menghuni ranking ke-12 dunia pada 13 Mac ini di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. KOSMO


You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998