BOLEH DIDENDA

by - Thursday, March 06, 2014

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bercadang membuat satu garis panduan baru untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah tahun depan bagi membolehkan setiap pasukan yang dijemput tidak sewenang-wenangnya menarik diri saat akhir.

Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, perkara itu dicadangkan sendiri wakil Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kepada MHC selepas kes penarikan diri gergasi Asia, Pakistan pada edisi ke-23 Piala Sultan Azlan Shah ini.


“Kami sudah berbincang mengenai kes penarikan diri Pakistan bersama wakil FIH ketika mereka melawat stadium bagi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Pahang baru-baru ini.



“Mereka beri cadangan supaya pihak sekretariat kejohanan ini membuat satu garis panduan baru bagi membolehkan pasukan yang menarik diri di saat akhir dikenakan hukuman termasuk tidak menjemput mereka untuk tahun akan datang.


“Apapun kami akan berbincang mengenai perkara ini pada saingan Piala Sultan Azlan Shah nanti. Kejohanan ini berbentuk jemputan, jadi pihak sekretariat boleh membuat garis panduan baru tanpa membabitkan FIH,” katanya ketika ditemui pada sidang media semalam selepas hadir di majlis penyampaian tajaan yang dihadiri Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam.



Pada majlis itu, baginda berkenan menerima penyerahan tajaan keseluruhan bernilai RM1.8 juta untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula 13 Mac ini.

Sementara itu, mengenai pemain kelahiran Malaysia berpangkalan di Jerman, Kevin Lim, Nur Azmi berkata, hasrat pemain itu untuk mewakili Malaysia dilihat semakin cerah.


“Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa perkara mengenainya, termasuk memaklumkan kepada FIH.

“Kevin tidak mungkin dapat beraksi untuk Piala Sultan Azlan Shah tapi mungkin berpeluang pada saingan selepas itu,” katanya.


Kevin ketika ini berada di Melaka bersama-sama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah yang akan bertemu Kanada dalam tiga perlawanan persahabatan bermula hari ini. METRO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998