THUNDERBOLT MENANG BERGAYA

by - Saturday, February 15, 2014

TERLALU sukar ditandingi. Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI-Thunderbolt) apabila disahkan muncul juara Divisyen Satu Liga Hoki Remaja Kebangsaan (MJHL) musim ini.

Kejayaan itu hadir selepas ‘meratah’ Sekolah Sukan Kuala Lumpur (KLSS) 11-0 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam, sekali gus mengekalkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut.


Anak-anak buah Wan Mohd. Roslan Wan Abd Rahman itu tetap memperagakan aksi sebagai ‘sang juara’ meskipun sedar secara tidak rasminya telah menjuarai kempen musim ini sebelum perlawanan itu bermula.

Pengurus pasukan SSTMI-Thunderbolt, Adam Izamry Idrus gembira dengan kejayaan tersebut dan mahukan para pemain meneruskan kecemerlangan bagi merealisasikan matlamat muncul juara berganda musim ini.

“Pemain menunjukkan tahap permainan yang hebat dan semakin hari corak permainan mereka semakin matang. Permainan hari ini (semalam) juga bersih kerana tiada pemain kami yang menerima kad.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian ini. Kami berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga musim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Adam mendedahkan kunci utama kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi yang diberikan para pemain dalam setiap perlawanan di samping persediaan awal sejurus tamat kempen MJHL musim lalu.

“Persedian mental dan disiplin yang tinggi daripada semua pemain adalah faktor utama kejayaan kami pada musim ini.

“Malah, ia juga adalah hasil komitmen jurulatih daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak SSTMI-Thunderbolt sendiri yang telah bergabung membentuk program berterusan sejak tamat kempen musim lalu.

“Saya harap momentum ini dapat diteruskan, sekali gus berjaya menjadi juara berganda (MJHL dan Piala MILO) buat kali ketiga berturut-turut,” jelasnya.

SSTMI-Thunderbolt yang juga merupakan ‘anak angkat’ kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperoleh gol menerusi Sufi Ismat Rohulamin seawal minit ketiga, 20 dan 33.

Lima lagi gol pada babak pertama itu hadir menerusi Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit kesembilan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (13), Muhammad Najmi Farizal Jazlan (22) dan Muhamad Aminudin Mohd. Amin (26 dan 30.

SSTMI-Thunderbolt menambah duka KLSS apabila menyumbat tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Ahmad Arif Jeman pada minit ke-44, Danial Asyraf Abd Ghani (67) dan Najmi (69) bagi melengkapkan pesta jaringan juara bertahan itu.- KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998