SYAMIN KENA TUNGGU KATA DHARMA

by - Friday, February 14, 2014

Hasrat penyerang muda negara Mohd Syamim Yusof untuk kembali semula bersama skuad kebangsaan mungkin tidak menjadi kenyataan selepas ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dharma Raj Abdullah memutuskan untuk tidak menerima kemasukan semula pemain berusia 22 tahun itu.

Syamim yang sebelum ini menarik diri daripada skuad kebangsaan dengan alasan untuk berehat seketika bagaimanapun mengubah keputusan selepas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memintanya untuk kembali semula ke dalam skuad negara.


Namun Dharma yang dihubungi semalam menegaskan, beliau tidak akan menerima semula kemasukan bekas penyerang skuad remaja itu kerana menganggap Syamim seperti sudah hilang semangat dan kesungguhan untuk bermain.

“Sebenarnya saya tidak berminat untuk bercakap tentang Syamim. Dia kena tunggu panggilan untuk skuad baru bila saya akan mengumumkan senarai panggilan baru. Saya tak nampak dia ada dalam 30 pemain yang ada sekarang.



“Lagipun dalam pasukan sekarang, prestasinya masih jauh ketinggalan daripada pemain lain. Kalau dia nak menyamai prestasi rakan sepasukan lain mungkin mengambil masa.


“Peluang diberikan kepadanya untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah tetapi dia nampak mempamer prestasi hambar (ketika sesi latihan). 

“Jadi lebih baik dia berehat dan bila sudah sedia untuk beraksi, barulah datang semula,” katanya.

Dharma berkata, beliau tidak bermaksud untuk menamatkan karier Syamim, sebaliknya menegaskan peluang sentiasa terbuka untuk pemain itu pada masa depan tetapi tidak untuk tempoh terdekat ini.

Jelas pengendali yang baru menggantikan Paul Revington itu lagi, kes Syamim diharap memberi pengajaran kepada pemain lain termasuk yang berstatus bintang supaya sentiasa komited sebaik mendapat panggilan negara.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998