SKUAD PROJEK SERTAI LIGA DOMESTIK

by - Wednesday, February 26, 2014

Keputusan sama ada pasukan hoki remaja kebangsaan dibenarkan beraksi dalam liga domestik bakal terjawab dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan yang dipengerusikan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad, esok. 

Skuad Projek 2016 ini memerlukan lebih banyak pendedahan sebagai satu pasukan terutama dalam negara sebagai persiapan sebelum menghadapi Piala Remaja Asia yang juga pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja 2016, tahun depan. 

Dua kejohanan tempatan yang diusulkan pasukan remaja kepada MHC itu untuk disertai adalah Liga Hoki Malaysia Divisyen Satu, bermula 16 Mac ini dan Liga Hoki Premier pada Oktober ini. 


Pengurus pasukan remaja kebangsaan, Mirnawan Nawawi berkata, barisan bimbingannya itu ingin bermain dalam dua kejohanan itu sebagai satu pasukan. 

“Kejohanan domestik ini adalah slot yang bagus. Kalau skuad projek dibenarkan beraksi dalam liga yang membabitkan ramai pemain senior sama ada kebangsaan atau tidak, sudah tentu ia bagus kerana mendedahkan skuad ini dengan lebih banyak perlawanan sebagai satu pasukan,” katanya. 

Mirnawan berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai 22 pelatih yang bakal menyertai Skuad Projek 2016 dan sekiranya tidak diberi pelepasan menyertai liga, mereka terpaksa meneruskan latihan seperti biasa tetapi dengan jumlah pelatih lebih ramai. 
“Jika diberi lampu hijau untuk bermain dalam liga ini, kita akan senaraikan 22 pemain pelatih untuk pasukan remaja kebangsaan yang akan menyertai liga ini sebagai satu pasukan,” katanya. 

Sebagai rekod, penyertaan pasukan remaja dalam liga hoki tempatan peringkat senior bukan pertama kali kerana pernah berlaku pada 1989 yang ketika itu turut menyaksikan Mirnawan menganggotai skuad berkenaan. BH

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998