SASARAN TIGA TERBAIK DI PIALA AZLAN SHAH

by - Thursday, February 13, 2014

MALAYSIA meletakkan sasaran tiga terbaik pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang bakal berlangsung di Ipoh, Perak selama 11 hari bermula 13 Mac depan.

Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Mohd. Johari Abd. Aziz berkata, kejohanan kali ini merupakan pentas terbaik sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, Mei depan.

“Hanya (pemain) terbaik bakal dipertaruhkan pada kejohanan kali ini. Sasaran kalau boleh, kita mahu muncul juara kerana kita belum pernah memenanginya.

“Namun, kita harus realistik kerana ada Australia yang berada di ranking No. 1 dunia, malah diundi berada dalam kumpulan sama bersama Malaysia dan Korea.


“Namun, kita akan cuba sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.

Beliau berkata, dari segi persediaan, skuad negara sudah bertambah baik selain hanya menantikan kombinasi ampuh yang bakal diturunkan oleh ketua jurulatih baharu, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

“Kita ada dua kejohanan sebelum Piala Dunia iaitu Piala Sultan Azlan Shah dan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan bermula penghujung April depan.

“Buat masa ini, kita sudah memiliki 31 pemain termasuk yang baru menyertai skuad negara, jadi kita akan melihat prestasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hoki Perak, Datuk Abd. Rahim Md. Ariff berkata, jadual perlawanan Piala Sultan Azlan Shah telah diluluskan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Namun, beberapa perubahan kecil dari segi masa akan dibuat bagi mengelakkan pertindihan dengan jadual Liga Malaysia,” jelasnya.

Sebanyak tujuh pasukan telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan kali ini iaitu Australia, Korea, Pakistan, Afrika Selatan, Kanada, China selain Malaysia.

Daripada tujuh negara berkenaan, empat daripada pasukan tersebut telah melayakkan diri dalam kempen Piala Dunia 2014 iaitu Australia, Korea, Malaysia dan Afrika Selatan. - KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998