PELUANG MASIH TERBUKA

by - Wednesday, February 19, 2014

KURANG sebulan lagi sebelum skuad hoki senior negara menghadapi ujian sulung tahun ini - Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bulan depan.

Sebagai langkah persediaan, seramai 16 pemain telah berlepas ke Australia semalam bagi menjalani latihan intensif dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

Namun, ketua jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, seramai 11 pemain yang telah mengesahkan tempat untuk beraksi pada PSAS kali ini dikecualikan daripada berlatih di Australia.


11 pemain terbabit ialah Roslan Jamaluddin, S. Kumar, Faizal Saari, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Shazril Irwan Nazli, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Mohd. Fitri Saari, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Firhan Ashaari dan Faiz Helmi Jali.

Empat lagi pemain yang dihimpit masalah kecederaan - Ismail Abu, Kavin Kartik Govindasamy, Nabil Fiqri Mohd. Noor dan Muhammad Razie Abdul Rahim juga tidak dibawa ke Australia.

"Faizal dan Kumar tidak akan menyertai kami ke Australia kerana mereka akan pulang dari India dalam masa terdekat.

"Jadi, pemain-pemain yang dibawa ke Australia perlu membuktikan keupayaan mereka untuk terpilih beraksi pada PSAS nanti.

"Sebahagian daripada pemain yang tidak terpilih pula akan direhatkan untuk memberi tumpuan bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan April depan.

"Saya ingin tekankan jika ada pemain yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan di Australia, saya tidak teragak-agak untuk menggugurkan mereka," katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Jalil, semalam.

Tambah Dhaarma Raj, skuad negara akan menghadapi enam perlawanan persahabatan termasuk empat kali menentang skuad Pilihan Australia dan dua kali bertemu pasukan Institut Sukan Australia.

"Ada enam perlawanan persahabatan nanti dan jika tiada halangan, mungkin akan tambah satu lagi perlawanan menentang pasukan Universiti Western Australia.

"Apabila pulang ke Malaysia nanti (2 Mac depan), kami akan bertemu China sekali dan Kanada dua kali sebelum bertanding pada PSAS (13 hingga 23 Mac depan)," katanya.

Dalam pada itu, lima pemain remaja telah dipanggil untuk menjalani latihan bersama 11 pemain yang dikecualikan ke Australia.

Lima pemain itu ialah Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Haziq Samsul, Shafiq Sumantri, Nor Azrul Abd. Rahman dan Muhammad Firdaus Omar. - KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998