TAHNIAH DHARMARAJ

by - Wednesday, January 08, 2014

PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah telah dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih skuad senior.

Pelantikan itu sudah pasti dianggap bonus buat Dharma Raj selepas beliau berjaya membimbing skuad Projek 2013 meraih kejayaan positif tahun lalu.

Selain Dharma Raj, dua bekas pemain negara, Nor Azlan Bakar dan K. Gobinathan turut dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Paul Revington.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pelantikan itu dibuat bagi memantapkan lagi skuad senior bagi menghadapi enam kejohanan utama tahun ini.

Menurut Tengku Abdullah, ia merupakan sebahagian perancangan yang diputuskan bagi menentukan hala tuju skuad negara bagi mengharungi jadual kejohanan yang cukup ketat bermula Mac hingga Oktober depan.

"Dengan pelantikan ini, skuad senior yang dibarisi seramai 35 pemain akan dikendalikan oleh Revington bersama-sama dengan tiga penolong jurulatih baharu yang dilantik.

"Tumpuan akan diberikan kepada Sukan Asia di Korea Selatan, kita sasarkan jadi juara di sana. Ia (Sukan Asia 2014) juga merupakan kelayakan bagi Sukan Olimpik Rio 2016.

"Kita mahu momentum pencapaian terbaik yang telah diperoleh sebelum ini berterusan dan persiapan itu dimulakan dengan melantik tenaga jurulatih yang berkaliber," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MHC di Kuantan semalam.

Mengikut jadual, skuad senior negara akan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada 13 hingga 22 Mac di Ipoh, Perak dan Cabaran Juara-Juara 1 (25 April hingga 4 Mei) di Kuantan, Pahang.

Selepas Piala Dunia, anak-anak buah Revington akan berlepas ke Scotland untuk menyertai Sukan Komanwel (23 Julai hingga 3 Ogos) dan Sukan Asia di Korea Selatan September depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Abdullah berkata, MHC akan mencari pengganti Dharma dan memberi keutamaan kepada calon tempatan.

Katanya, dua jurulatih - Lim Chiow Chuan dan Tai Beng Hai akan bertindak sebagai penyelaras untuk memilih calon yang sesuai bagi menggalas tugas tersebut.

"Kita akan teliti calon yang sesuai termasuk jurulatih dari luar, namun keutamaan diberi kepada calon tempatan," jelasnya.

Tengku Abdullah turut mengumumkan bahawa Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim dan Lailin Abu Hassan kekal selaku jurulatih skuad senior dan junior wanita negara. KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998