SASARAN TETAP 10 TERBAIK

by - Friday, January 24, 2014

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) tetap tidak akan mengubah Indeks Prestasi Utama (KPI) pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, Mei depan.

Terdahulu, MHC telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya kedudukan 10 terbaik buat skuad senior negara yang kini dibimbing Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Bagaimanapun, anak-anak buah Dhaarma Raj dijangka berdepan misi sukar bagi merealisasikan sasaran tersebut apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Australia, England, Belgium, Sepanyol dan India.

Menurut pengurus pasukan Malaysia, George Koshy, skuadnya perlu mencapai sasaran tersebut jika mahu meraih pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September depan.

"Kami sedar kami kena menang dalam setiap perlawanan walaupun ia agak susah. Lagi pun, jika kami mendapat tempat ke-12 pada Piala Dunia, kami hanya naik satu anak tangga.

"Sekurang-kurangnya kami perlu naik dua atau tiga anak tangga... sebab itu kami perlu mencapai kedudukan 10 terbaik.


"India yang merupakan pencabar utama pada Sukan Asia nanti juga bersama dengan kami dalam Kumpulan A.

"Jika kami kalah dengan India, macam mana mahu menang pingat emas di Incheon, seterusnya layak ke Sukan Olimpik. Jadi, kami perlu kalahkan India," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kumpulan B pula terdiri daripada Jerman, Belanda, New Zealand, Korea Selatan, Argentina dan Afrika Selatan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz berkata, sasaran yang ditetapkan itu merupakan satu cabaran besar kepada Dhaarma Raj yang dilantik menggantikan tempat Paul Revington awal minggu ini.

"Kita berada dalam kumpulan bersama beberapa pasukan handalan seperti Australia, England dan Belgium. Pasukan-pasukan seperti ini liat untuk dikalahkan.

"Ini satu cabaran kepada Dhaarma Raj tetapi saya percaya dia mampu menggalasnya dengan baik. Para pemain juga sebenarnya yakin mereka mampu melangkah lebih jauh daripada sasaran ditetapkan.

"Ia juga mungkin berubah-ubah tetapi buat masa sekarang, kami berpandukan sasaran awal dahulu supaya tidak memberikan tekanan kepada semua pemain dan juga jurulatih," katanya.

Skuad senior negara sudah mula menjalani latihan pertama di bawah kendalian Dhaarma Raj minggu ini bagi menghadapi ujian pertama - Piala Sultan Azlan Shah pada Mac depan sebelum mereka berlepas ke Belanda. KOSMO


You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998