HOKI PIALA DUNIA,SASARAN CUMA ANTARA 10 TERBAIK

by - Thursday, January 09, 2014

SELEPAS 'adik' mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja tahun lalu, skrip yang hampir sama juga diharapkan mampu dilakar skuad senior negara.

Pada Mei depan, skuad senior kendalian Paul Revington mempunyai tugas besar apabila bakal membuat penampilan dalam kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.


Justeru, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah meletakkan sasaran buat anak-anak buah Revington untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir.

"Saya mahu melihat mereka (skuad senior) menunjukkan prestasi yang membanggakan. Jadi, kami telah menetapkan sasaran kelompok 10 teratas pada Piala Dunia nanti.

"Mungkin dengan adanya penyertaan daripada beberapa pemain remaja dalam skuad senior nanti akan memberikan lebih banyak variasi dan tenaga baharu kepada jurulatih serta pasukan itu sendiri.
"Benar harapan ini agak tinggi tetapi skuad remaja sebelum ini telah membuktikan mereka berjaya melepasi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan pada Piala Dunia Remaja tahun lalu.

"Jadi, saya harap mereka (skuad senior) tidak akan menghampakan kami dan dapat menampilkan prestasi cemerlang sama seperti yang telah dipamerkan oleh skuad remaja," kata Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Terdahulu, Tengku Abdullah hadir pada Majlis Penghargaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama skuad remaja negara di kampus utama UniKL di Kuala Lumpur semalam.

Pemain remaja negara yang merupakan pelajar dan bekas pelajar UniKL menerima insentif RM4,000 setiap seorang manakala yang bukan pelajar universiti itu, memperoleh RM1,000 seorang.

Dalam pada itu, skuad senior negara akan menempuh jadual padat sepanjang tahun ini.

Mereka dijadualkan menyertai Piala Sultan Azlan Shah (13-22 Mac), Cabaran Juara-Juara 1 (25 April-4 Mei), Piala Dunia (31 Mei-15 Jun), Sukan Komanwel (23 Julai-4 Ogos) dan Sukan Asia pada September depan.

Revington turut mengakui, Kejohanan Sukan Asia 2014 yang akan berlangsung di Incheon, Korea Selatan merupakan antara kejohanan paling penting tahun ini selain kempen Piala Dunia.

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998