DILEMA DHARMA

by - Thursday, January 30, 2014

Dilema kini bermain di benak fikiran ketua jurulatih skuad hoki senior negara Muhammad Dharma Raj Abdullah menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, pada 13 hingga 23 Mac ini.

Sama ada harus menurunkan skuad utama atau sebaliknya di kejohanan jemputan itu kini menjadi pertimbangannya kerana beliau juga perlu memikirkan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang pada 26 April hingga 4 Mei yang pada pendapatnya lebih penting kerana menawarkan mata ranking dunia. 


Yang lebih utama, Dharma perlu membuat congakan tepat kerana selepas dua kejohanan itu, skuad negara akan tampil beraksi pada kancah Piala Dunia di The Hague, Belanda bermula 31 Mei iaitu antara tugasan paling getir sepanjang kempen tahun ini. 

Namun Ipoh juga cukup penting buat dirinya sendiri kerana ia tugasan pertamanya selaku ketua jurulatih selepas mengambil alih daripada Paul Revington selain perlu mengekalkan reputasi cemerlang skuad negara yang muncul naib juara tahun lalu.



“Kalau saya turunkan barisan pemain utama, kita mungkin meraih pencapaian cemerlang tapi adakah pemain sama mampu beraksi di Cabaran Juara-Juara 1, itu yang saya fikirkan ketika ini.


“Cadangan awal saya untuk menurunkan barisan pemain muda sambil dibantu beberapa pemain senior. Tapi itu masih belum pasti lagi, saya hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan China dan Kanada bulan depan,” katanya. 

Dharma mengaku sedia menerima sebarang kemungkinan pada saingan Piala Sultan Azlan Shah nanti sekiranya congakan dilakukannya tidak menjadi serta anak buahnya beraksi hambar. 

“Sejak diberi tugas jurulatih, saya sudah fikirkan semua ini. Saya pasti akan dikritik sekiranya gagal meraih keputusan bagus, tapi saya sudah bersedia menghadapi semua itu,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Mohd Johari Abdul Aziz berkata, Afrika Selatan menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan penyertaan mereka di Piala Sultan Azlan Shah. 

Sebelum ini enam pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka iaitu Australia, Korea Selatan, Kanada, Perancis, Malaysia dan Pakistan. HM

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998