DHARMA PERLU PROFESIONAL DALAM PILIHAN PEMAIN

by - Wednesday, January 22, 2014

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) yakin tumpuan dan fokus skuad senior negara tidak terjejas ekoran tindakan Paul Revington meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih negara berkuat kuasa kelmarin.

Setiausaha Agung MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz berkata, badan induk itu menerima keputusan Revington yang kini tempatnya diambil alih oleh Muhammad Dharma Raj Abdullah.


"Saya harus akui bahawa keputusan peletakan jawatan Paul Revington memberikan kesan kerana ia melibatkan perancangan skuad negara.

"Namun, selepas perbincangan diadakan kita yakin skuad hoki negara masih mampu mengekalkan tumpuan serta fokus mereka," ujarnya ketika ditemui selepas selesai mesyuarat penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2014 di Ipoh semalam.

Menurut Mohd. Johari, berdasarkan senarai pemain berpengalaman dan berbakat yang dimiliki, perubahan ketua jurulatih itu tidak akan memberi impak besar kepada skuad senior negara.

"Kita mempunyai para pemain berpengalaman, jadi saya fikir itu tidak menjadi masalah dan pertukaran tersebut hanya mungkin melibatkan taktikal sahaja.

"Jadi kita lihat macam mana beliau (Dhaarma Raj) menyesuaikan diri dengan rentak permainan yang telah diatur oleh Paul Revington sebelum ini.

"Dengan kualiti pemain yang kita ada, mana-mana jurulatih yang mengemudi skuad negara pasti tidak mempunyai masalah besar," katanya.

Beliau berkata, MHC mengharapkan Dhaarma Raj dapat mencorakkan permainan lebih baik selain para pemain terus bersemangat memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Sasaran telah ditetapkan... sekurang-kurangnya 10 terbaik (pada Kejohanan Dunia di The Hague, Belanda Mei depan).

"Kalau dapat lebih daripada itu dikira bonuslah tetapi kita tetap realistik terhadap ranking skuad negara," jelasnya.

Mengulas perancangan Dhaarma Raj yang dijangka menampilkan lebih ramai pemain remaja dalam skuad senior, Mohd. Johari berkata: "Saya rasa beliau (Dhaarma Raj) perlu profesional dalam perkara membabitkan pemilihan pemain.

"Beliau harus melihat kepada merit semua pemain dan tidak semestinya dia yakin kepada bekas anak-anak buahnya kerana tahap cabaran di peringkat senior dan junior adalah berbeza.

"Jadi, beliau harus membuat percaturan dan perancangan bagi menentukan pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan," ujarnya.KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998