AL FATIHAH UNTUK BEKAS PENJAGA GOL PASUKAN HOKI NEGARA

by - Saturday, January 18, 2014

“Arwah tidak boleh bercakap dengan jelas sejak diserang angin ahmar pada 2006. Bagi memastikan dia mendapat penjagaan sempurna, saya memohon bersara awal daripada jawatan sebagai guru.

“Namun, saya terkilan arwah tidak sempat melihat kelahiran cucu pertama apabila anak perempuan dijangka bersalin bulan depan,” kata Rohana Hashim, 54, isteri bekas penjaga gol hoki kebangsaan era 70-an, Mohd Zahar Epi, 53, yang meninggal dunia, pagi semalam.


Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) pada jam 2.15 pagi akibat angin ahmar yang dialaminya selain turut diserang sakit jantung sejak kebelakangan ini.

Rohana berkata, arwah pernah mewakili negara dalam kejohanan hoki antarabangsa, tetapi beliau tidak dapat mengingati kejohanan terbabit dan lokasi kejohanan kerana ketika itu mereka belum berkahwin.

Menurutnya, selain mewakili negara, Allahyarham yang bernaung di bawah Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) pernah mewakili Negeri Sembilan dalam banyak kejohanan tempatan sepanjang pembabitan beliau dalam sukan berkenaan.

“Minat arwah dalam sukan hoki begitu tinggi dan bakatnya terserlah sejak di bangku sekolah.

Kami sekeluarga bangga dengan kejayaannya, namun reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Senawang, di sini, petang semalam.

Sementara itu, adik Allahyarham, Mohd Nasaruddin, 47, berkata abangnya menderita kedua-dua penyakit itu sejak lapan tahun lalu dan minggu lalu abangnya mengadu kakinya sejuk sebelum dibawa ke HTJS untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, selepas hampir seminggu mendapatkan rawatan, doktor memaklumkan organ dalamannya tidak berfungsi sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.15 pagi semalam (kelmarin),” katanya. - BERNAMA

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998