PIALA DUNIA REMAJA,MALAYSIA TEWASKAN NEW ZEALAND

by - Saturday, December 07, 2013

MALAYSIA bermula bergaya apabila menewaskan New Zealand 3-2 pada aksi pertama saingan peringkat Kumpulan D pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di Stadium Hoki Dyan Chand, New Delhi semalam.

Firhan Ashaari yang sebelum ini kemarau jaringan selama setahun, muncul wira buat pasukan negara setelah menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum perlawanan tamat.


Kemenangan itu merupakan satu permulaan baik buat skuad hoki remaja negara yang turut mendapat pujian daripada Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Malah, skuad kendalian Muhd. Dharma Raj Abdulla itu turut mendapat sorakan daripada kumpulan anak-anak muda daripada Liga 1001, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) berpusat di New Delhi yang diatur khas oleh Univerisiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Ini satu kemenangan yang bermakna walaupun kami sebenarnya mampu bermain dengan lebih baik.

"Namun, kejayaan meraih tiga mata adalah penting kerana kami perlu meningkatkan tahap psikologi dan ini sudah tentu meletakkan kami dalam keadaan yang lebih baik," kata pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi.

"Ia merupakan satu perlawanan yang sengit tetapi mungkin juga kerana ia adalah perlawanan pembukaan. Saya amat bangga setelah Firhan (Ashaari) akhirnya menemui kembali sentuhan dan ini akan terus memberikan keyakinan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik lagi.

"Biarpun ia adalah perlawanan pertama tetapi tiga mata ini akan menaikkan moral kita untuk menghadapi perlawanan kedua menentang Afrika Selatan, Ahad ini (esok)," katanya.

Pada aksi tersebut, Skuad Projek 2013 itu membuat permulaan garang apabila membuka tirai jaringan menerusi pakar flick negara, Shahril Saabah setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit keenam.

Biarpun bermula hebat, namun skuad negara melakukan banyak kesilapan dengan menghadiahkan tiga pukulan sudut penalti kepada New Zealand dalam tempoh 11 minit.

Kane Russell menghukum kem Malaysia apabila menyamakan kedudukan buat New Zealand dengan melakukan pukulan tepat ke penjuru gawang Malaysia untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Selepas itu, skuad negara kembali di depan menerusi jaringan padang Mohd. Rashid Bahrom pada minit ke-37 selepas mudah menolak masuk hantaran Daiz ke gawang gol New Zealand.

Sejurus selepas rehat, skuad negara terus menggasak kubu lawan namun kesilapan menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada negara Kiwi itu membolehkan Kane Russell sekali lagi menyamakan kedudukan menjadi 2-2.

Namun, percubaan skuad negara mencari gol kemenangan terhasil apabila Firhan menjadi wira negara selepas menolak masuk bola ke gawang New Zealand setelah percubaan Shahril ditampan penjaga gol pada minit ke-62.KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998