SUNTIKKAN SEMANGAT UNTUK PASUKAN REMAJA

by - Wednesday, November 27, 2013

SKUAD remaja negara menerima suntikan semangat menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia di India bulan depan apabila menerima tajaan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).


Felda tampil sebagai penaja skuad remaja negara dengan sumbangan wang tunai RM500,000 bagi menghadapi kempen Piala Dunia bermula 6 hingga 15 Disember di Stadium Hoki Major Dhyan Chand di New Delhi.

Pada masa sama, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu turut menerima jersi dan pakaian rasmi tajaan daripada Kuckreja & Co.

"Felda berbangga untuk menjadi penaja buat pasukan remaja kebangsaan.

"Jumlah itu mungkin tidak banyak tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kami untuk menyaksikan pasukan kebangsaan bersedia sepenuhnya menghadapi Piala Dunia.

"Kami akan melakukan segala-galanya untuk memastikan misi ini tercapai," kata Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad pada sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Faizoull menyampaikan cek bernilai RM500,000 kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Majlis itu turut disaksikan oleh barisan pegawai Felda, MHC dan anggota skuad remaja negara.

"Ia adalah harapan kami untuk melihat pasukan remaja kebangsaan beraksi menentang pasukan terbaik dunia.

"Piala Dunia Remaja adalah kejohanan berprestij dan Felda menyokong penuh perkembangan pasukan hoki di peringkat tempatan dan antarabangsa," tambah Faizoull.

Dalam majlis yang sama, MHC turut menyampaikan insentif berjumlah RM4,000 kepada skuad remaja negara atas kejayaan mereka muncul naib juara Piala Sultan Johor 2013 pada September lalu.KOSMO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998