PADANG ASTROTURF UNTUK PFS...KENAPA TIDAK

by - Sunday, November 03, 2013

Artikel ini pihak admin dapat dari sumber google, tidak dapat dipastikan bila ianya diterbitkan kerana arkib di Berita Harian tidak lagi memaparkan artikel ini.

Bila membaca artikel ini, admin teringat dikala mewakili pasukan sekolah dan juga negeri, dimana padang atau stadium astorturf yang terdekat hanya terletak di Ipoh.Dan secara logik perkiraan untuk membangunkan sukan hoki cadangan Datuk Dr S S Cheema ini harus dipandang serius.

Kenapa tidak Penang Free School diberikan geran untuk memiliki padang hoki astroturt sendiri. Untuk rekod, PFS merupakan "KILANG" yang mengeluarkan bakat-bakat pemain hoki baik untuk peringkat sekolah mahupun negeri.

Dan sejarah juga telah membuktikan yang kecermelangan pemain hoki dari Penang Free School bermula diawal tahun 1960 an lagi.

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk bekas-bekas pemain hoki PFS yang kini memegang jawatan tertinggi didalam konglomerat di Malaysia menghulurkan bantuan untuk merealisasikan impian ini.
Dalam mencecah usia 200 tahun sedikit masa lagi, kita mahukan Pasukan Hoki Penang Free bukan lagi menjadi kilang utnuk pemain pasukan negeri tetapi menjadi KILANG UNTUK PEMAIN-PEMAIN HOKI MALAYSIA!!

 

‘Lebih baik ada 100 padang tiruan’


    Oleh Azidan Nahar

    Tidak guna bina stadium berharga RM10j tapi tidak dapat menampung permintaan tinggi

    “DARIPADA kita bina stadium hoki yang berharga lebih RM10 juta, lebih baik jika kita buat 100 padang tiruan supaya lebih ramai anak-anak muda dapat bermain hoki,” kata Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia, Datuk Dr S S Cheema.

         Jelas saranannya itu tampak seakan berseloroh tetapi jika diamati ia adalah langkah terbaik bagi mengembalikan kegemilangan hoki negara yang ketika ini ketinggalan di belakang jaguh-jaguh Asia yang semakin meningkat seperti Korea Selatan, Pakistan, India mahu pun kuasa baru, China.

    Dr Cheema menjelaskan ketika ini hanya ada kira-kira 30 padang hoki dengan rumput tiruan yang menjadi pemangkin bagi menghasilkan produk berkualiti iaitu pemain-pemain yang mampu menggantikan pemain kebangsaan suatu hari nanti.

    Jika dibuat perkiraan, jumlah RM10 juta bagi dibelanjakan untuk membina hanya sebuah stadium hoki boleh digunakan sepenuhnya bagi membina padang tiruan yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000 setiap satu.

    “Ketika ini di seluruh negara hanya ada kira-kira 30 padang tiruan, budak-budak (pemain hoki) tidak cukup tempat untuk main hoki. Padang tiruan itu pula hanya ada di bandar-bandar utama dan sukar untuk budak-budak ini menjalani latihan.

    “Perak misalnya adalah antara negeri memiliki paling banyak padang, itupun hanya empat iaitu dua di Ipoh dan masing-masing satu di Larut dan Manjung,” katanya.

    Jumlah berkenaan, menurut Dr Cheema, tidak mencukupi bagi menampung kira-kira 7,000 pelajar dan anak-anak muda yang mahu bermain hoki pada setiap minggu sedangkan jumlah berkenaan adalah amat besar.

    Jarak yang jauh juga menurutnya akan membataskan keinginan pemain untuk bermain di padang sebenar kerana mereka pastinya tidak akan sanggup berulang-alik semata-mata untuk bermain selama beberapa jam saja.

    Katanya, di kebanyakan negeri hanya ada satu atau dua padang tiruan saja sedangkan latihan sudah diatur PHM membabitkan semua daerah selain dibekalkan dengan aspek kejurulatihan dan peralatan seperti kayu dan bola hoki.

    “Kita sudah ada struktur yang cukup baik, ada jurulatih yang bertauliah sama ada sepenuh masa ataupun sambilan untuk mengajar pemain-pemain di setiap negeri. Kita akan mengadakan liga membabitkan daerah dan dari situ kita akan wujudkan pasukan daerah yang akan bertanding pula di peringkat negeri.

    “Tetapi jika kita tidak ada padang tiruan mana mungkin kita dapat melahirkan pemain berkualiti bagi diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

    Dr Cheema memberi contoh bagaimana sebuah negara sekecil Belanda memiliki lebih 1,000 padang tiruan buat melatih pemain-pemain menyebabkan mereka mampu mendominasi acara berkenaan dan membentuk pasukan bertaraf dunia.

    “Mereka ada lebih 1,000 padang tiruan, mereka hanya sebesar Pahang, bayangkan bezanya dengan kita yang masih lagi bermain di atas padang rumput seperti zaman dulu,” katanya.

    Dr Cheema berkata, ia mendatangkan impak berlainan dari segi jangka masa panjang kerana menurutnya pemain yang diajar bermain di padang rumput tidak akan dapat menandingi mereka yang bermain di padang tiruan walaupun berlatih dalam tempoh yang lama.

    “Jadi kita perlu ada banyak dewan pelbagai guna dengan padang tiruan ini sama seperti permainan futsal yang popular masa kini. Dari situ kita boleh galakkan anak-anak muda bermain hoki mengikut kesesuaian masa mereka, ia sekali gus dapat mengelak banyak gejala tidak sihat.

    “Buat masa ini memang banyak dewan seperti itu milik swasta tetapi sewanya begitu mahal dengan tempoh sejam ada kalanya sewanya melebihi RM150, budak-budak tidak mampu membayarnya,” katanya.

    Oleh itu, Dr Cheema berharap pihak berwajib dapat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah berkenaan supaya hoki negara dapat lebih berkembang dan pasukan hoki kebangsaan akan setanding dengan nama-nama besar sukan berkenaan.


~fortis atque fidelis~

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998