PANIGALE SUPERMID 899

by - Thursday, October 31, 2013

KEMUNCULAN Panigale 1199, jentera supersport yang dianggap sebagai jentera terbaik yang pernah dibina oleh Ducati melonjak nama pembuat motosikal Itali itu daripada kesuraman prestasi dalam Grand Prix Motosikal dunia (MotoGP).

Kecoh juga dibuatnya apabila cerita Panigale versi 899 mula tersebar di laman sesawang. Masing-masing tidak sabar menunggu kemunculan produk supermid jenama eksotik itu. Panigale versi sederhana tersebut akhirnya dibawa ke tanah air sempena acara perlumbaan berprestij dunia MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.



Selepas acara pelancaran yang dihadiri jagoan pasukan Ducati Corse, Andrea Dovizioso, Panigale 899 memperlihatkan  gaya dan reka bentuk yang hampir sama dengan jentera ulung Panigale 1199, walaupun ia didatangkan dengan kapasiti enjin lebih rendah.

Panigale 899 merupakan model gantian kepada jentera supersports yang paling lama bertahan tanpa perubahan reka bentuk baharu yang ketara – Ducati 848.

Ducati 848 muncul dalam pasaran dunia pada tahun 2008 dan disegarkan dengan spek istimewa EVO pada tahun 2011. Kesinambungan daripada teknologi era baharu Ducati, pembuat motosikal itu telah menambah 50cc ekstra kepada 899 dan sudah pasti mempunyai keupayaan yang berbeza.  


Panigale 899 hadir dengan teknologi baharu enjin 898cc Superquadro L –Twin yang mempunyai 148 kuasa kuda (109kW) yang diintegrasikan dengan casis monocoque baharu dan sistem elektronik termaju.

Konfigurasi enjin Superquadro masih lagi mengekalkan signature L-twin 90 darjah.  Dengan ukuran bore 100 milimeter (mm) dan stroke 57.2mm, unit enjin tersebut mempunyai penghantaran kuasa yang luas dengan menghasilkan tork sebanyak 73lb-ft (10.1kgm).

Jika daripada sudut prestasi, ia kurang hampir 50 kuasa kuda daripada model 1199, tetapi hasil kejuruteraan baharu itu menghasilkan 8 kuasa kuda lebih daripada model 848 EVO dan 34 kuasa kuda lebih daripada model legenda 916 pada dua dekad yang lalu.

Kejuruteraan Ducati menekankan sepenuhnya kepada inovasi kerangka Monoscocca bagi mencapai nisbah kuasa-ke-berat yang ideal. Faktor ketangkasan jentera yang mempunyai berat kering 169 kilogram (kg) sangat dititikberatkan.

Sama seperti Panigale 1199, jentera ini dilengkapi dengan sistem elektronik tercanggih, termasuk tiga mod tunggangan berserta sistem Ducati Traction Control (DTC) dan sistem brek ABS. Begitu juga dengan ciri Ducati Quick Shift (DQS), teknologi bersepadu Ride-by-Wire (RbW) dan sistem Engine Braking Control (EBC) yang menjadi penanda aras kepintaran pasukan kejuruteraan Ducati.

Kesemua kelengkapan elektronik termaju ini adalah semata-mata untuk memberikan prestasi terbaik di litar perlumbaan dan jalan raya biasa.  

Panigale 899 menggunakan swingarm berkembar, berbeza dengan Panigale 1199 yang mendapat swingarm tunggal.

Sistem penggantungan dan komponen brek juga tidak se-eksotik model Panigale 1199. Sudah pasti ada sebab yang tersendiri mengapa Ducati melakukan perubahan tersebut. Walau bagaimanapun, ia masih kekal dalam barisan Ducati yang mempunyai prestasi hebat dan menampilkan rekaan menarik.

Usaha berterusan Ducati untuk menghasilkan jentera yang mencapai tahap kesempurnaan hampir-hampir tercapai. Panigale 899 boleh didapati dalam warna merah Ducati dengan padanan rim berwarna hitam atau warna putih dengan kemasan rim berwarna merah. Dijual pada harga RM108,000, mungkin ia menjadi salah satu jentera yang perlu anda cari.SH

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998