KTM DUKE 390

by - Thursday, October 24, 2013

Beberapa bulan selepas tampil dengan model 690 Duke R, KTM sekali lagi memberi tekanan terhadap pemain industri dua roda dalam negara. Terkenal dengan imej ekstrem dan prestasi tinggi, walaupun berdepan dengan pelbagai isu servis selepas jualan, KTM tegas dengan prinsip keutuhan jenama mereka.

Baru-baru ini, KTM melancarkan keluarga terbaharu model pemasangan tempatan, Duke 390. Ia merupakan cerminan kepada model panas Duke 200 yang mendapat sambutan luar biasa daripada golongan belia. KTM Malaysia CKD merupakan antara yang terawal memperkenalkan model motard ringan tersebut dalam pasaran Asia.
Duke 390 dikuasakan dengan unit enjin empat lejang silinder tunggal 375cc sejukan cecair. Teknologi unik daripada KTM menghasilkan nisbah tork yang tinggi dan menjadikan ia sebagai pilihan utama dalam aksi lasak dan stunt.

Beberapa prinsip penting telah diketengahkan dalam pengenalan produk terbaharu ini iaitu ringan, lincah, keseronokan tunggangan, kompak, lebih ekonomi dan mampu dimiliki.

Keupayaan enjin 375cc tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 44 kuasa kuda pada kitaran enjin 9500rpm dan tork maksimum 35Nm pada 7250rpm.

Jumlah kuasa yang terhasil daripada enjin dipindahkan melalui kotak gear enam kelajuan. Unit enjin empat valve DOHC tersebut telah dipadankan dengan teknologi suntikan Bosch EFI, sistem suspensi WP, rim aloi dengan tayar Metzler, kerangka badan yang ringan.

Penggunaan fork terbalik WP-USD 43 milimeter (mm) pada bahagian hadapan menunjukkan Duke 390 dibina khas untuk kegunaan ekstrem dan berprestasi. Ia disokong oleh sistem monoshock WP pada bahagian belakang.



Model terbaharu KTM ini disediakan dengan instrumen meter digital yang menghimpunkan informasi asas seperti angka kelajuan, petunjuk rev, petunjuk kedudukan gear, indikator fungsi ABS, kadar penggunaan minyak dan bacaan jarak perbatuan.

Reka bentuk Duke 390 lebih mengutamakan gaya tunggangan ekstrem yang ergonomik. Reka bentuk tangki telah diperkemas untuk mendapatkan kedudukan lutut yang terbaik semasa tunggangan.

Duke 390 dilengkapi dengan sistem brek angkup empat piston dengan cakera Brembo 300mm pada bahagian hadapan.

Manakala, pada bahagian belakang ia menggunakan angkup piston tunggal dengan cakera Brembo 230mm. Keupayaan brek disokong oleh sistem ABS Bosch 9MC Two Channel. Rim aloi berwarna oren 17 inci menaikkan lagi karakter motard ini.

KTM Malaysia CKD begitu yakin dengan keunikan produk terbaharu mereka dengan meletakkan sasaran jualan sebanyak 150 unit sehingga hujung tahun ini dan 500 unit pada tahun hadapan.

Dengan tawaran harga RM27,935.10 (harga atas jalan), Duke 390 mampu menggugat beberapa model daripada jenama Honda dan Kawasaki.-SUMBER

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998