ANITA YUSOF DAH BUKTIKAN YAMAHA FZ150 ANTARA YANG TERBAIK!!

by - Wednesday, October 09, 2013

Khusyuk melihat pemandangan yang indah dan keinginan yang sentiasa berkobar-kobar untuk melihat dunia Allah yang terbentang luas, membuatkan pemilik nama Anita Yusof, 46, sanggup bersusah-payah meredah bumi asing de­ngan permukaan ekstrem secara solo, ha­nya dengan menunggang motosikal Yamaha FZ 150.

Lebih menarik, pensyarah jasmani di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh itu sebenarnya baru setahun mendapat lesen menunggang motosikal. Malah dia tidak pernah menaiki pengangkutan beroda dua itu sebelum pengembaraan solonya kerana perasaan takut selain menganggap motosikal sebagai kenderaan yang berbahaya. 
Namun disebabkan hatinya meronta-ronta dan tidak tertahan lagi untuk melihat Kyrgyzstan secara lebih dekat, negara yang dianggapnya sebagai tercantik di dunia, Anita memberanikan diri dan sanggup belajar menunggang motosikal. 

Permukaan ekstrem bumi Kyrgyzstan pula tidak mungkin boleh diteroka tanpa kendera­an pacuan empat roda, basikal ataupun motosikal. Selepas ditimbang-tara, lalu wanita itu memilih motosikal memandangkan kereta akan menyebabkan kos bahan api mencanak naik manakala basikal pula tidak mampu dikayuhnya beribu kilometer.
Apatah lagi wanita kental itu mengembara menggunakan bajet sendiri, justeru dia harus berjimat-cermat demi meneruskan kelangsungan perjalanannya menjelajah lima negara iaitu Tajikistan, Kyrgyzstan, Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan selama sebulan.

Biarpun bergerak atas minat sendiri, keberaniannya mengembara secara solo turut mendapat pengiktirafan daripada Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai pengembara solo wanita negara pertama yang merentasi lima negara di Asia Tengah dengan motosikal. 

“Saya memang seorang yang sangat sukakan pemandangan yang indah. Setiap kali mendapat tahu atau terlihat saja gambar memaparkan tempat yang cantik, saya akan pergi ke sana untuk melihatnya sendiri. 

“Sejak 2002, saya sering melancong ke luar negara tetapi sebagai backpacker dan menggunakan perkhidmatan awam di negara itu untuk melihat negara orang sehinggalah saya terlihat sebuah blog seorang pelancong mat salih yang sanggup berbasikal di Kyrgyzstan,” katanya. 

Anita berkata, dia kagum melihat gambar negara berkenaan yang dimuat naik oleh lelaki itu lalu terus menghubunginya menerusi e-mel untuk bertanya mengenai Kyrgyzstan selain mengetahui jenis pengangkutan awam yang disediakan di sana. 

Namun katanya, lelaki itu memaklumkan tiada perkhidmatan pengangkutan awam di negara terbabit sebaliknya Anita perlu menggunakan kenderaan sendiri sekiranya mahu melihat negara itu dengan lebih dekat lantas menyarankan basikal untuk menjimat­kan perbelanjaan. 

“Sudah tentu saya tidak larat hendak berbasikal lalu saya pilih motosikal. Bermula dari situ, saya mengambil keputusan belajar menunggang motosikal dan berhubung dengan seorang lagi penulis blog, Hadi Hussein yang saya anggap seperti guru saya kerana dia juga suka menjelajah menggunakan motosikal. 

“Selepas mendapat lesen, saya terus menung­gangnya ke pejabat untuk memberi keyakinan dan memberanikan diri. Hampir dua bulan selepas itu, saya diajar oleh sifu saya cara membaca peta dan mengembara ke negara asing menggunakan motosikal. Kami merentasi Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja selama 23 hari. 

“Memang pada masa itu saya masih takut-takut membawa motosikal dan bergoyang-goyang apabila ada kenderaan besar lalu di tepi. Kadangkala saya menjerit kerana takut tetapi selepas beberapa ketika, saya semakin mahir,” katanya yang kini menyambung pengajian di pering­kat PhD dalam bidang Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. 


Syukur jadi anak Malaysia 

Perjalanannya merentasi negara Asia itu lebih bermakna apabila dia berjaya menempuh seba­nyak 1,864 selekoh untuk sampai ke Thousand Corner, yang terletak di Mae Hong Son, utara Thailand yang memang diidamkan setiap pe­ngembara motosikal malah dianggap ‘naik haji’ oleh golongan itu. 

Malah, kegembiraan dan keyakinannya yang semakin tinggi untuk mengembara secara solo dengan bermotosikal mendorongnya menjelajah sekali lagi ke Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, kali ini seorang diri dalam tempoh 12 hari. 

Selepas yakin dengan kemampuannya, Anita memulakan langkah beraninya menjelajah lima negara di Asia Tengah bermula 22 Mei lalu seorang diri sepanjang 6,208 kilometer dengan membawa bekalan makanan, khemah, pakaian, telekung dan semua kelengkapan membaiki motosikal sekiranya berlaku perkara tidak diingini. 

“Setiap negara yang saya lawati itu sememangnya mundur dan agak menyedihkan terutama dari segi kemudahan buat rakyatnya. Sepanjang melewati negara terbabit, hati saya terasa sayu dengan keadaan mereka dan rasa sangat bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia. 

“Bayangkan tandas mereka hanya dinding berukuran kecil dan hanya menutup anda sekiranya duduk mencang­kung saja, jika berdiri sudah pasti ramai yang nampak. Begitu juga jalan raya­nya dalam keadaan sangat daif. Daripada jumlah perjalanan saya ke lima negara terbabit, hanya 810km jalan berturap, selebihnya jalan yang rosak teruk, berbatu ataupun tanah merah saja,” katanya. 

Pengalaman di negara terbabit sememangnya menginsafkan dirinya apatah lagi ketika menumpang teduh di rumah seorang penduduk dalam perjalanannya ke kawasan terpencil Kyrgyzstan. Pemilik kediaman yang juga seorang Islam bertanya soalan mengenai solat dan bacaan ayat selepas melihatnya menunaikan solat, sekali gus memperlihatkan pengetahuan asas agama mereka yang agak cetek. 

“Sepanjang perjalanan ke lima negara itu, saya hanya berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa isyarat kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, saya pula tidak tahu bercakap bahasa tempatan. 

“Bagaimanapun perjalanan saya lancar dan yang lebih menarik, saya tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini atau tayar motosikal pancit biarpun melalui jalan berbukit yang penuh batu kerikil yang turut dikenali sebagai laluan kambing,” katanya. 


Laluan mencabar 

Di negara terbabit, hanya minyak petrol RON80 yang dijual kerana harganya lebih murah dan dibeli dengan cara menceduk menggunakan timba. Namun bahan api itu kurang kuasa menyebabkan motosikal yang ditunggang Anita beberapa kali mati enjinnya tatkala memanjat bukit sehingga membuatkannya tergelincir dan jatuh beberapa kali. 

Disebabkan saiz tubuhnya yang kecil, Anita tidak mampu mengangkat motosikal seberat 180 kilogram dengan muatan seorang diri. Setiap kali motosikalnya terjatuh, ibu kepada dua cahaya mata itu terpaksa mengeluarkan semua barang yang diang­kutnya supaya dapat mengang­kat semula motosikal. Namun keadaan itu boleh diibaratkan seperti berdiri di atas air sabun. 

Sebaik motosikal berjaya didirikan, dia memasukkan semula semua barangan yang dibawa ke dalam kotak simpanan kenderaan itu. Bagaimanapun tidak sampai beberapa minit mendaki semula jalan berbatu di bukit, motosikalnya mati enjin dan tergelincir sekali lagi. 

Sememangnya perjalanan di negara terbabit memerlukan kesabaran yang amat tinggi namun dek minat mendalam untuk menikmati keindahan kawasan pergunungan dan pemandangan memukau, semuanya sanggup diharungi Anita. 

“Saya juga beberapa kali hilang punca untuk meneruskan perjalanan kerana jalan yang ada sebelum itu terputus dan digantikan dengan sungai kecil apabila salji mencair. Pernah sekali saya terpaksa mengambil masa satu jam mencari sambungan jalan yang terputus walaupun jaraknya tidak sampai 200 meter. 

“Lebih menggembirakan, saya juga pernah dijemput orang tempatan untuk makan bersama dan saya sudah merasai sendiri makan­an tempatan terdiri daripada daging yak, kambing biri-biri Marco Polo, kambing gurun dan keldai. 

“Ada juga pemilik rumah tumpangan sanggup memberikan saya penginapan satu malam secara percuma selepas mendapati saya seorang wanita yang mengembara secara solo dengan motosikal di negara mereka. Mereka menganggap saya begitu berani dan menghargainya,” katanya. 

Disebabkan bergerak menggunakan wang saku sendiri, Anita terpaksa berjimat-cermat dan memasak sendiri, selain tidur dalam khemah di mana saja apabila rasa perlu berehat. 

Hampir RM30,000 habis dibelanjakan dengan separuh daripadanya digunakan untuk membeli minyak petrol. Namun Anita puas dan gembira dapat menjelajah ke kawasan yang ada antaranya tidak pernah dijejaki rakyat Malaysia seperti Laluan Ak Baital pada ketinggian 4,655 meter iaitu laluan kedua tertinggi di dunia yang juga dikenali sebagai ‘bumbung dunia’. 

“Biarpun ada juga yang terkejut dan bertanya sama ada saya takut bergerak seorang diri, terus-terang saya katakan saya tidak takut kerana saya tidak memikirkan perkara yang buruk. Orang tempatan juga sungguh mesra terutama apabila mereka tahu saya dari Malaysia. 

“Bagi saya sekiranya kita sudah mengkaji de­ngan mendalam sesuatu tempat, yakin dan sudah bersedia, tiada apa yang perlu ditakutkan. Lagipun sepanjang perjalanan saya tidak pernah terasa keseorangan dan merasakan Allah sentiasa bersama saya. 

“Saya sentiasa berzikir sepanjang perjalanan dan berasa dekat dengan Allah apatah lagi begitu kagum melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan yang terbentang luas di hadapan mata saya,” katanya yang turut bersyukur mendapat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Tashkent, Kementerian Luar Negeri Malaysia serta Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Zulkifli Hassan. 

Bagi dirinya yang sudah menjelajah ke 52 negara, Kyrgystan mempunyai keistimewaan tersendiri dan dirasakan negara yang memiliki kecantikan alam semula jadi paling indah berbanding semua negara yang pernah dilawatinya. 

Antara cabaran yang perlu dilaluinya ketika menjelajah ke lima negara terbabit adalah jalan gunung yang curam, licin dan becak, ribut pasir ketika di Afghanistan, angin kencang ketika berada di Uzbekistan dan Tajikistan, glasier mencair dan suhu ekstrem di kawasan pergunungan yang boleh mencecah dua darjah Celsius serta perubahan suhu mendadak. 

“Pernah suatu ketika saya pengsan akibat perubahan suhu yang mendadak. Daripada terlampau sejuk iaitu pada dua darjah Celsius kepada terlampau panas iaitu 56 darjah Celsius dalam tempoh 30 jam. Apabila buka mata, hampir seluruh penduduk kampung di pergunungan di Kalaikhum, Tajikistan sudah mengerumuni saya,” katanya. 

Cabaran lain adalah jurang komunikasi bukan saja secara lisan malah tulisan kerana negara terbabit menggunakan bahasa Russia tidak seperti abjad di Malaysia, memaksanya belajar serba sedikit asas bahasa supaya tidak sesat. 

Sebagai seorang yang gemarkan cabaran dan aktiviti luar, Anita memulakan pengembaraan itu kerana mahu menguji kemampuan dirinya dan melihat sejauh mana dia dapat bertahan dalam suasana penuh getir. 

Baginya, tidak salah untuk seseorang keluar daripada kepompong dan meneroka dunia yang indah malah ia sepatutnya dilakukan sementara masih kuat, tanpa mengira bentuk pengangkutan yang digunakan. Namun persediaan dan pengetahuan yang rapi mengenai sesuatu tempat perlu dilakukan demi keselamatan diri. 

Dia turut menggalakkan kedua-dua anaknya yang sudah meningkat dewasa, Rudy Iskandar Ramli, 24, dan Emiershah Izkandar Ramli, 19, untuk turut mengembara malah mempunyai rancangan melancong ke Eropah bersama-sama sekiranya tidak ada halangan masa. 

“Selepas ini saya juga memasang impian untuk bergerak ke satu lagi destinasi dan sementara itu, saya sering melakukan kembara solo ke Thailand. Saya juga merancang menyiapkan sebuah buku catatan perjalan­an saya ke negara berkenaan,” katanya.
-SUMBER METRO

You May Also Like

0 BeLoQeR

Komen atau kutukan sendiri tanggung tau
INGAT!!!
AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998